Saturday, April 25, 2009

Slumdog Millionaire - filem terbaik 2008 dihasilkan




Filem Slumdog Millionaire telah memenangi 8 daripada 10 kategori yang dipertandingkan di Academy Awards 2009. Filem ini memenangi:


1. Best Picture


2. Best Director


3. Best Adapted Screenplay


4. Best Film Editing


5. Best Sound Mixing


6. Best Cinematography


7. Best Original Score


8. Best Original Song.


Selain daripada itu filem ini juga menang 5 Critics' Choice Awards, 4 Golgen Globe dan 7 BAFTA Awards termasuk filem terbaik.

Filem ini telah diarahkan oleh Danny Boyle dan ditulis oleh Simon Beaufoy (lakonlayar) dan diadaptasi dari novel yang ditulis oleh seorang Diplomat, Vikas Swarup.
Filem ini telah mengangkat aktor kanak-kanak Rubina Ali, Azharuddin Mohamad Ismail dan Ayush Mahesh Khedakar yang melakonkan watak Latika, Salim Malik dan Jamal Malik yang diangkat dari kejiranan miskin dan daif di pinggir bandar di India. Mereka menjadi popular dalam masa yang singkat kerana kemenangan anugerah di Academy Awards tersebut. Sehingga ada khabar-khabar angin yang menyatakan bapa Rubina akan menjual anaknya itu kepada seorang jutawan di negara Timur Tengah bagi mendapatkan kekayaan segera supaya kehidupannya akan lebih terjamin. Tetapi berita itu disangkal oleh bapanya!


Sesungguhnya filem ini lain dari yang lain. Cerita yang memaparkan kisah seorang remaja yang telah terpilih untuk memasuki program Who Want To Be A Millionaire. Permohonan yang dihantar melalui jawapan telefon, secara tidak sengaja, telah dipilih secara rawak oleh komputer rancangan siaran program tersebut, setelah dia diminta untuk mengambilalih sebentar tugas seorang operator telefon. Ia memaparkan secara selang-seli di antara program tersebut dengan kisah hidup silamnya hingga ke saat dia memasuki program tersebut. Dia cuba ditipu oleh pengacara supaya tidak memenangi wang sebanyak 32 juta rupee, tetapi nasib tetap menyebelahinya. Dia tetap dengan pendiriannya dengan memberi jawapan yang diyakininya sendiri. Pemaparan yang berani yang menunjukkan kemiskinan dan kepapaan serta kedaifan orang-orang miskin serta anak-anak jalanan yang hidup merempat di India. Mereka hidup dalam dunia yang penuh kejahatan, penindasan, kezaliman serta penipuan. Tetapi di sebaliknya ada mesej yang jelas untuk dihayati, baik untuk pemerintah atau manusia dan kemanusiaan sejagat. Dan masih ada sifat kebaikan dalam hubungan kekeluargaan dan hubungan sesama manusia meskipun kadang-kadang mereka terpaksa melakukan kejahatan untuk meneruskan kehidupan dan kesinambungan hidup. Sesungguhnya ia satu filem sindiran tajam untuk kerajaan yang memerintah! Kerajaan patut lebih prihatin dengan kesengsaraan rakyat terbanyak. Kesejahteraan perlu diberikan kepada mereka. Rakyat dibiarkan hidup melarat dan menjadi mangsa sindiket mengaut kekayaan di atas ketidakupayaan orang-orang melarat dan miskin! Manusia sanggup mencungkil mata kanak-kanak untuk dijadikan pengemis agar lebih mendapat simpati orang ramai!
Sesungguhnya kita memerlukan filem-filem yang sebegini untuk mengangkat dunia perfileman kita. Bukan filem yang biasa-biasa sahaja temanya dan tidak mempunyai penghayatan.
Sebenarnya kita akan terasa amat puas bila menonton filem Slumdog Millionare ini. Sekurang-kurangnya inilah yang saya rasa setelah menonton filem ini.

Friday, April 24, 2009

Membaca 2, 3 buku sekaligus?




Membaca 2 atau 3 buku serentak, bukanlah bermaksud membaca kesemua bilangan ini secara serentak tetapi membaca dua atau tiga buku sebelum menamatkan pembacaan bagi satu-satu buku. Atau bukan juga membaca 3 buah novel menjadi satu kompilasi, satu trend baru penerbitan mutakhir ini. Saya telah membaca 3 buku yang dikatakan best-seller dalam kategorinya masing-masing.

Saya telah membaca buku yang dikatakan best-seller The Kite Runner, karangan Khalid Hosseini, warga Afghanistan yang telah berhijrah ke Amerika ketika kancah peperangan berlaku di antara tentera yang didokongi Amerika dan tentera Taliban.

Sebaliknya membaca buku Kitab Cinta Yusuf & Zulaikha karya Taufiqurrahman al-Azizy, yang dikatakan best-seller Timur Tengah di Indonesia, pada masa yang sama. Dan pada masa yang sama saya juga membaca sebuah buku yang memenangi hadiah utama peraduan menulis novel di Malaysia yang dianjurkan oleh sebuah badan ternama. Saya tidak ingin untuk menyebutkan nama buku atau penulisnya bagi buku ketiga itu. Novel ini mencakupi hampir 500 halaman. Apa yang ingin saya suarakan hanyalah merupakan perasaan atau pendapat saya semata-mata ke atas 3 buku-buku tersebut.


Saya mendapat tahu mengenai buku The Kite Runner melalui satu ulasan di akhbar. Beberapa lama saya berusaha untuk mendapatkan buku tersebut, sehinggalah pada suatu hari saya pergi ke kedai buku Kunikuniya di Bangunan Pencakar Langit Bangunan Berkembar Petronas. Di sanalah juga saya membeli buku Kitab Cinta Yusuf & Zulaikha, di samping membeli beberapa buku lagi untuk diri dan keluarga. Beberapa buku dibeli oleh anak saya yang banyak berlegar kisah dalam alam remaja dan zaman persekolahan.

Bagi novel The Kite Runner, pendahuluannya agak hambar dan sesekali saya mengagaknya seperti sebuah buku picisan yang dipenuhi dengan sumpah seranah dan kata-kata lucah (kerana pada awal babnya terdapat kata-kata yang sedemikian), tetapi ternyata ianya tersasar. Lukisan sebuah kehidupan yang ditelanjangi sewaktu era peralihan sebelum pengambilahan pemerintahan Taliban dan era pemerintahan Taliban. Kita tidak tahu apakah yang sebenarnya berlaku di sana, kecuali melalui berita-berita dunia yang mengkin telah diputarbelitkan dan digambarkan seburuk-buruknya pemerintahan Taliban.

Kisahnya diceritakan dengan secara jujur oeleh pengarangnya. Diceritakan pengalaman manis dan pahit semasa zaman remaja. Dibesarkan ditengah keluarga yang dihormati dan berada. Dibesarkan di dalam keluarga berketurunan Pashtun, memiliki kemewahan hidup, walaupun membesar tanpa belaian seorang ibu. Membesar bersama-sama dengan anak kepada orang gaji bapanya yang berketurunan Hazara yang dipandang rendah oleh masyarakat. Bapanya menyayangi anak orang gajinya sama seperti dia menyayangi anaknya sendiri. Dan anak orang gaji ini (Hassan) pula amat menyayangi anak majikannya. Sanggup menjadi galang ganti kepada keselamatan dan maruahAmir Khan, anak majikannya.

Dan Amir hanya mengetahui anak orang gajinya itu ialah saudara tirinya hasil persetubuhan haram bapanya dengan isteri Ali (Sanaubar) yang menjadi orang gajinya. Isterinya tidak mungkin akan dapat melahirkan anak kerana suaminya mandul kerana telah dikasi. Kisah ini hanya diketahui setelah Amir kembali ke Afghanistan kerana menziarahi saudaranya setelah dihubungi oleh Rahim Khan. Ketika itu bapa Amir telah pun meninggal dunia.

Ikutilah kisah menarik di dalam The Kite Runner ini.

Alangkah baiknya kalau buku ini dapat diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.
Sementara Buku Kitab Cinta Yusuf & Zulaikha pula ialah bertemakan kisah cinta antara dua sejoli yang pada awalnya sering bertelingkah dan salah sangka. Pada awalnya saya ingatkan ianya benar-benar cerita benar dari kitab suci mengenai Nabi Yusuf dan ia digarap dalam bentuk cerita yang menarik, rupa-rupanya ia tersasar. Yusuf, pemuda yang diceritakan hanyalah pemuda indonesia yang hidup di desa yang memiliki ketampanan dan mempunyai kelakuan terpuji serta mendalam ilmu agamanya. tetapi saya merasa pelik, mana mungkin seorang yang tidak berpelajaran tinggi (hanya banyak membaca hasil buku-buku yang dipinjam dari kawannya) boleh menjadi seorang yang berilmu tinggi dan dapat memberi kuliah(?) serta bersyarah dengan baik. Jalan ceritanya mendatar dan dirasakan kurang logik kerana terlalu mengagungkan watak Yusuf, walaupun di beberapa bab diceritakan juga kelemahan-kelemahan Yusuf. Endingnya dibuat seperti upset. Perlangsungan majlis melamar Zulaikha oleh keluarga Umar bertukar lamaran untuk Yusuf!
Dan sebuah lagi buku yang ditulis oleh seorang yang agak tersohor di Malaysia. Saya enggan untuk menamakannya. Cerita yang ditulis dan digarap memang baik. Diberi sentuhan dan diselangseli dengan ilmu dan teladan. Diberi nafas kemodenan dan tingginya ilmu warga Malaysia, dijalin dengan kegemilangan sejarah dan peradaban bangsa. Dirujuk dari pelbagai sumber supaya ia kelihatan begitu sempurna, tetapi entah kenapa untuk menghabiskannya begitu sukar sekali. Bukunya tebal dan sesekali terasa begitu ilmiah. Untuk menamatkan pembacaan, saya terpaksa mengambil masa melebihi sebulan! Biasanya kalau buku yang menarik, saya hanya akan mengambil masa dua, tiga hari sahaja untuk menghabiskannya.
Dalam pembacaan ketiga-tiga buah novel itu, buku yang memenangi hadiah utama peraduan mengarang di Malaysia inilah yang paling akhir saya sudahi.

Monday, March 30, 2009

ANTARA KEKAYAAN DAN PENIPUAN


Kita sering berangan-angan, kalau tidak pun, sesekali mengimpikan untuk memiliki kekayaan sama ada dalam bentuk mata wang, emas atau lain-lain harta seperti banglo mewah atau kereta berprestig.

Pernahkah anda dikejutkan dengan berita akan menerima wang ringgit berjuta-juta sama ada melalui surat elektronik atau sms?

Saya pernah banyak kali menerima surat elektronik yang dikirimkan oleh entah sesiapa, yang tidak pernah saya kenal atau berhubung. Tup-tup saya akan menerima beberapa puluh juta dalam bentuk dollar Amerika. Kononnya daripada peninggalan pesaka si anu dan si anu. Saya diminta supaya segera memberi maklum balas sama ada mealui e-mel atau telefon. Kononnnya wang tersebut akan dibankkan segera ke dalam akaun saya. Saya sebenarnya tidak pernah memberi sebarang respon kepada e-mel-emel tersebut. Wah, senangnya mendapat durian runtuh dan harta karun. Sebenarnya mereka ada mainan sulit yang akan menjerat kita kalau kita memberi respon. Bukannya wang kita yang akan bertambah tetapi wang kita beribu-ribu yang akan lesap. Modus Operandinya sama sahaja. Kita akan dipanggil ke satu tempat, selalunya hotel mewah. Akan ditunjukkan sampel wang dollar berjuta-juta yang akan diperolehi. Tetapi sebelum ianya diserahkan, kita akan dipaksa membayar wang proses perpindahan, kononnya. Selepas wang diperolehi, kita akan diberikan wang tersebut yang ternyata palsu. Di bawahnya berlapis-lapis keratan kertas yang tidak mempunyai apa-apa nilai. Sama seperti wang Black Money. Pernahkah anda menonoton 360 di dalam TV3? Samalah modus Operandinya.


Saya juga pernah menerima banyak e-mel yang meminta mengemaskinikan nombor dan katalaluan bank serta katalaluan e-mel bank. Apa yang hendak dikemaskinikan kalau bank-bank yang disebutkan itu tidak pernah kita ada akuannya pun! Betapa liciknya manusia-manusia penipu ini. Manusia yang tidak pernah takutkan Tuhan dan akan menyangkakan akan terus-terusan hidup tanpa mati-mati. Manusia yang tidak pernah ada perasaan untuk mendapatkan rezeki secara halal bagi memuaskan nafsu serakah!

Jadi anda beringat-ingatlah sebelum terkena atau tertipu oleh syaitan dan saudara-saudara syaitan ini. Syaitan yang berupa manusia.

Saturday, March 28, 2009

Ikan Apa ini?




Bernilai sebanyak 20,000 pound sterling atau US29,000 dollar. Mahalnya ikan ini. Siapa yang sanggup membelinya? Tetapi ikan ini tidak boleh dimakan kerana ia adalah sebuah robot yang diletakkan di dalam Akuarium London pada 6 Oktober, 2005. Berukuran hampir 5 kaki panjang, akan dilepaskan ke utara Laut Sepanyol pada tahun ini untuk dijadikan alat untuk mengesan pencemaran laut.
-Berita dari Reuters

Tuesday, March 24, 2009

Menjadi Kenyataan













Akhirnya apa yang saya impikan telah menjadi kenyataan.


Kereta telah pun boleh terbang. The Terrafugian telah diasaskan oleh graduan-graduan di Jabatan Aeronautics dan Astronautics Massachusetts Instute of Technology dan MIT Sloan School of Management. Kereta terbang ini boleh terbang dengan kelajuan 115 batu sejam dengan jarak penerbangan sejauh 460 batu. Menggunakan enjin 4 strok dengan kuasa 100 kuasa kuda. Bersaiz 19 kaki panjang, sayapnya boleh dilipatkan ke atas untuk kesenangan menyimpannya di dalam garaj. Minyaknya boleh diisikan di mana-mana stesyen petrol.



Mahu membelinya?



Harga anggaran sebanyak US194,000 dollar dan akan dikeluarkan secara kemersial pada tahun 2011. Ianya telah dipanduji di Plattsburgh International Airport, Amerika pada 5.3.2009.



Bagi orang-orang yang berada atau merasakan ada kelebihan wang ringgit bolehlah menempahnya sebuah. Bolehlah mengelak daripada kesesakan jalan raya terutama ketika balik kampung di musim perayaan.



Dan untuk pengetahuan, kereta terbang ini juga telah dicipta lebih awal oleh Moller International. Terdapat enam model kesemuanya. Di antaranya modelnya ialah M200X dan M400. Ia boleh berlepas seperti jet pejuang Harrier British. Sila layari http://www.moller.com/.

Tuesday, February 17, 2009

Kereta Era Baharu




Ketika saya mula-mula menulis novel pertama, ketika menunggu keputusan MCE, sebuah novel advencer, Tetamu Pulau Setangkan, saya berangan-angan untuk mencipta watak dan persekitaran yang bersesuaian dan berbentuk futura. Lalu saya adakan watak yang sedikit terkedepan dari masanya. Lalu terciptalah cerita advencer di mana saya mengangan dan menggambarkan sebuah jentera terbang - kerusi terbang- yang dinamakan Perintis. Ia menggunakan enjin tunggal dan berkipas di belakangnya.



Hanya baru-baru ini timbullah kenderaan era baru ala aerospace, setelah bertahun-tahun novel saya itu dicetak dan diterbitkan. Kenderaan jenis baru ini akan mula dijual di US dengan kadar harga di antara US25,000 -US40,000. Ia digerakkan menggunakan kuasa bateri. Lihatlah gambarnya di atas. Walaupun ia berbentuk futuristik zaman angkasa, bergerak dengan tiga roda, tetapi ia masih tidak dapat terbang. Ia menjimatkan bahan bakar dan tenaga, meninggalkan persekitaran yang bersih dan menyenangkan untuk diletakkan di tempat parkir. Tetapi kereta ini bukan dwi fungsi sebagaimana yang saya angan-angankan. Buku saya di atas telah dituliskan pada tahun 1974 dan diterbitkan pada tahun 1978. Telah diulang cetak sebanyak empat kali. Kini ia tiada lagi di pasaran. Saya masih terbayangkan manusia akan mencipta kereta terbang. Boleh digunakan di jalan raya dan di udara! Kenderaan yang dapat mempercepatkan pergerakan dan mengelakkan kesesakan jalan raya!
Suatu hari nanti, apakah impian saya ini akan menjadi kenyataan?

Friday, January 9, 2009

Satu penghapusan etnik terbaru













Gambar-gambar ini menceritakan segala-galanya. Rasa geram, kecewa, marah dan dendam kesumat yang meluat-luat kepada saudara-saudara Islam. Betapa kejamnya Zionis Yahudi yang sewenang-wenangnya menyembelih dan membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa sejak bermingggu-minggu lamanya. Sehingga artikel ini ditulis belum ada tanda-tanda akan hentinya kerana ia tidak mendapat apa-apa tentangan, melainkan protes dan tunjuk perasaan seluruh dunia. Tetapi mereka tidak akan peduli. Amerika akan tetap membela mereka. Hamas Palestin tetap dikatakan pengganas dan jahat. Kumpulan Fatah hanya mendiamkan diri di sebelah Tebing Barat. Hanya sesekali Hamas menyerang tanpa mempunyai daya dan kekuatan senjata. Ibarat tangan mereka terikat dan mereka diganyang habis-habisan. Palestin perlu dihapuskan! Itulah tekad Zionis Yahudi. Sudah beribu orang telah mati. Mereka tidak akan peduli. Penghapusan etnik bermula lagi. Satu lagi holocaust bermula. Tidak cukup dengan tragedi penyembelihan di Sabra dan Shatilla dahulu.

Tanah Palestin pasti akan dirampas inci demi inci, kaki demi kaki, batu demi batu dan akhirnya rakyat Plaestin akan menjadi pelarian di negeri sendiri. Ke manakah mereka akan pergi? Mesir menutup kemas pintu sempadan. Sempadan Rafah disekat, kononnya ia dikawal oleh pihak berkuasa Israel. Hairan bin ajaib, sempadan negara sendiri dikawal oleh orang asing! Tidak ada simpati sesama Islam, kanak-kanak dan kaum ibu yang kesempitan parah dan yang sedang merana dan ketakutan daripada keganasan syaitan yang bertopengkan manusia. Mereka tiada tempat lagi untuk melarikan diri. Saudara sesama Islam sendiri tidak mempunyai hati perut dan tidak mempunyai sekelumit simpati pun!

Ada negara Islam sendiri lebih memelihara persahabatan dengan negara polis dunia dan negara yang diwujudkan secara paksa di atas negara Palestin asalnya! Di situlah kelemahan negara-negara Islam. Tidak ada perpaduan. Kalau dihimpunkan segala kekayaan dan kekuatan bala tentera yang ada di negara Timur Tengah, pasti Palestin tidak diperkotak-katikkan dan dibuli semahu-mahunya. Negara Arab bukan tidak kuat.
Di manakah OIC? Oh, I see, I see. Hanya memandang tanpa berdaya melakukan apa-apa untuk membantu saudara sesama Islam terus diganyang dan disembelih. Pada satu ketika negara kita diberi kepercayaan mengepalai OIC, tidak ada apa-apa pembaharuan jua dibuat. kita gagal untuk menyatukan negara-negara Islam. Memang, mengikut sejarah pun, negara-negara Arab sukar untuk disatukan kerana tiada satu pun yang akan mengalah dengan jiran-jirannya. Sekiaranya mereka berpadu dan menggunakan segala kekayaan yang ada dengan membentuk satu kuasa ekonomi tanpa membuat pelaburan langsung dengan Amerika dan sekutu-sekutunya, pasti kita akan ada kekuatan untuk menakutkan Israel. Setidak-tidaknya tidaklah terlalu rakus menyerang negara Palestin. Lihatlah apa yang telah dilakukan oleh Hassan Nasrullah, pemimpin Hizbullah Lubnan. Walaupun pejuang-pejuang tidak ramai dan senjata yang ada tidak dapat menandingi Zionis Yahudi, akhirnya Israel dapat ditundukkan. Amerika barulah bersuara supaya peperangan dihentikan! Setelah melihat Israel telah tewas di bahagian Utara yang bersempadan dengan Lubnan. Kalau diteruskan, mungkin sebahagian besar Israel dapat dimusnahkan.
Negara Islam mesti melahirkan lebih ramai Hassan Nasrullah bagi memenangkan umat Islam! Kekentalan jiwa dan kekayaan iman akan meniupkan roh Islam dan akan memenangkan Islam! Saya menyeru supaya kita sama-sama berkorban untuk mengamankan saudara kita di Palestin. Iringan doa dan sumbangan banyuan berupa wang ringgit dan lain-lain barangan amat diperlukan bagi membantu saudara kita di sana. Janganlah terlalu mengharap kepada tindakan PBB. PBB hanya menjadi alat kepada negara-negara kuasa besar yang mempunyai kuasa veto, terutamanya Amerika. Setiap usul untuk mengenakan Israel pasti akan disekat dengan kuasa veto Amerika. Kita boleh memboikot barangan Amerika, tetapi berapa banyakkah syarikat-syarikat besar kepunyaan Amerika yang beroperasi di negara kita. Rata-rata pekerjanya terdiri daripada rakyat negara ini. Apakah mereka terpaksa berkorban dengan berhenti kerja. Apakah MAS terpaksa menjual kapalterbang kerana kebanyakan pesawat dibeli dari Syarikat Boeing dari Amerika? Di mana mahu membeli alatgantinya? Begitu juga pesawat pejuang tebuan yang juga dibeli daripada Amerika. Dan berapa banyak pula syarikat multinasional dari Amerika seperti AIA, Kentucky Fried Chicken, Gardenia, Coca Cola, Intel dsbnya yang beroperasi di negara kita? Dalam kegawatan ekonomi sekarang, apakah mereka berhenti kerja semata-mata untuk memboikot syarikat-syarikat dari negara Uncle Sam itu? Bagaimana kalau kita berada di tempat mereka? Dan perlu diingatkan Mesir telah pernah menewaskan Israel dalam peperangan menawan kembali Semenanjung Sinai di bulan Ramadhan semasa di bawah tampuk pemerintahan Presiden Anwar Sadat.

Dan letakkan diri kita pula di tempat mereka( rakyat Palestin). Bukan hanya simpati tetapi empati!Tindakan-tindakan terbaik harus dilakukan untuk membantu mereka.
Tahniah kepada MERCY Malaysia yang telah pun berada di sempadan Palestin!

Ya, ALLAH selamatkan rakyat Palestin yang sedang diasak dan dianiayai!


AMIN YA RABBUL ALAMIN.