Showing posts with label renungan. Show all posts
Showing posts with label renungan. Show all posts

Tuesday, July 21, 2009

GERHANA MATAHARI

Garisan Gerhana Matahari Penuh
Terpesona dengan kejadian gerhana matahari








Betapa kita mengagumi kejadian gerhana mentari pada hari ini 22.07.2009. Betapa besar lagi penciptaan matahari itu sendiri walaupun ianya merupakan sebahagian kecil daripada cakerawala dan sistem solar yang menghidup dan memberi nafas kepada kehidupan manusia dan lain-lain kehidupan. Kesemua ini merupakan sebahagian kecil dari jutaan ciptaan ALLAH yang tidak terhitung dan kita gagal untuk mempelajari dan merenungi keajaiban yang berlaku dengan mata hati dan akal budi. DIA mahu kita menginsafi diri dan tunduk kebesaran-NYA. Ia menunjukkan MAHA Pencipta dan MAHA Agung ALLAH yang tidak terbanding dengan apa-apa sekali pun.
Sempena fenomena gerhana matahari ini kita disarankan lebih banyak berzikir dan melakukan solat gerhana matahari sebagai tanda ubudiah kita terhadap ALLAH.

Monday, December 15, 2008

Guru Atau Pendidik?




Dulu-dulu, di zaman tujuh puluhan, kalau disebut cikgu atau dia seorang guru, pastilah orang-orang tempatan dan masyarakat akan memandang tinggi kepadanya. Hormatnya bukan kepalang. Nasihat dan pandangannya akan dihargai. Mereka tokok yang dihormati dan disegani, bukan tokoh yang ditakuti! Begitu lagikah sekarang?

Terpulanglah kepada yang menilainya.


Di zaman serba canggih dan manusia menjadi semakin cerdik dan semakin hilang hormat kepada orang lain, biasalah kalau seorang guru boleh diherdik oleh ibubapa atau lebih teruk dipukul oleh anak muridnya sendiri. Di sebuah negeri, seorang pelajar perempuan sanggup menendang guru wanita! Satu fenomena yang tidak pernah berlaku sebelumnya di dalam dunia pendidikan. Kalau kereta baru dicalar-calar, biasalah!




Saya mempunyai anak istimewa, yang dihantar ke sebuah sekolah menengah. Hari-hari persekolahan dilalui seperti biasa. Menjalani rutin hariannya menjadi pelajar yang mungkin tidak dipedulikan oleh rakan-rakannya yang lebih sempurna.


Pada bulan Ramadhan yang lalu, lalu diberitahu oleh gurunya kepada penjaga mereka, semua anak-anak istimewa di sekolah itu akan dibawa ke Kota Bharu, untuk meraikan mereka dengan berbuka puasa sebelum menjelang Hari Lebaran. Mereka dihadiahkan dengan sedikit wang raya setakat yang terdaya diberikan oleh mereka yang prihatin. Surat telah diutuskan kepada penjaga untuk menyatakan hasrat pihak sekolah itu, dengan kerja keras guru-gurunya seramai empat orang.


Lalu dikirimkan sepasang baju Melayu bersampin dan songkok yang dijahitkan reben untuk dipakaikan kepada pelajar-pelajar. Pakaian itu diminta dipakaikan sebelum dihantar ke sekolah sebelum menaiki bas yang disewa khas. Guru-guru menjahitkan sendiri sampin dan reben tanpa meminta pertolongan dari pihak lain.


Lalu isteri saya menghantar sms kepada gurunya memaniskan bicara. Tentulah banyak sponsor yang diperolehi pihak sekolah bagi menjayakan program itu!


Inilah adalah balasan sms daripada guru kelas kanak-kanak istimewa itu:


"Tak adalah banyak mana. Itu pun terpaksa saya malukan muka mengutip derma dari kedai ke kedai. Tak mengapalah, saya ingin melihat anak-anak murid saya bergembira menyambut raya."


Hati saya sangat tersentuh. itulah guru sejati! Tidak mengharapkan ganjaran dan imbalan atau mengharapkan kenaikan pangkat! Sanggup menjahit sendiri sampin dan reben pada songkok pelajar-pelajarnya.


Apakah guru-guru di sekolah elit atau boarding schools melakukannya sendiri demi anak buah tercinta! Atau mengharapkan pihak pentadbiran menguruskannya? Sanggupkah kita menebalkan muka mengutip derma demi untuk orang-orang bawah kita yang tercinta? Berapakah digri keikhlasan kita melakukan apa-apa tanpa mendapat imbalan dunia berbentuk pangkat dan material duniawi? Hanya ALLAH yang dapat menilai IKHLAS kita. Apakah kita melakukan tugas semata-mata kerana ALLAH? Tanpa ujub, tanpa rasa mahu menunjuk-nunjuk! Tanpa secalit rasa lngin menunjuk-nunjuk? Tanpa riak dan bermuka-muka?


Saya pernah menjadi pelajar di sekolah menengah dulu, menjadi editor majalah sekolah. Guru membawa Editorial Board ke Kota Bharu. Ditinggalkan kami di jalan-jalan tertentu. Dimintanya kami menjajah ke kedai-kedai bagi mendapatkan tajaan dalam bentuk iklan untuk dimasukkan ke dalam majalah tahunan bagi mengurangkan harga majalah. Bukan semua pelajar mampu membeli majalah sekolah! Apakah murid-murid kita hari ini melakukannya sekarang sebagai pendidikan untuk berlatih berdikari atau menanam sikap keusahawanan tanpa banyak memohon bantuan pihak-pihak lain. Hari ini, untuk menyenangkan kerja, dilonggokkan ke bahu pentadbiran untuk melakukan bagi pihak kita. Pelajar-pelajar kita tidak akan belajar apa-apa. Tidak mandiri dan hanya mengharapkan bantuan orang setiap waktu! Kita hanya mengharapkan pemberiaan yang dihulurkan tanpa banyak melakukan yang lebih baik. Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima.
Kepada cikgu yang memberi pengajaran dan membantu anak-anak saya dan bagi pihak ibubapa yang mempunyai anak-anak istimewa, terima kasih sebanyak-banyaknya kerana menganggapkan mereka seperti anak-anak sendiri yang perlu dikasihi dan disayangi. Yang perlu dibelai dan asuh menjadi manusia yang lebih sempurna! Semoga Tuhan membalasnya dengan sebaik-baiknya dan semoga Tuhan memberi kebahagian kepada kehidupan Cikgu!
TERIMA KASIH, CIKGU!

Thursday, December 4, 2008

LEMBU dan KORBAN




Tidak lama lagi pada 10 Zulhijjah,1429H akan tibalah pula Eidul Adha. Umat Islam yang mengerjakan haji akan wukuf di Arafah. Di sana terdapat Bukit Rahmah di Gunung Arafat yang memercutandakan tempat pertemuan dua insan bernama Manusia - Adam dan Hawa, setelah dikeluarkan dari syurga. Lalu dipertemukan semula setelah dipisahkan beberapa lama.




Di tempat kita, akan ramailah yang akan melakukan kerja-kerja korban binatang ternakan sama ada lembu, kambing atau unta bagi yang mampu, sebagai tanda menyambut saranan agama. Dalam sejarah Islam, Nabi Ibrahim alaihiwassalam melakukan penyembelihan seekor kibas yang dianugerahi Allah kepadanya sebagai ganti 'pengorbanan' putera tercinta Nabi Ismail alaihiwassalam.




Di negara kita, selain korban lembu yang dilakukan pada 10, 11 dan 12 Zulhijjah, tidak kurang juga lembu dan lain-lain ternakan yang 'terkorban' di jalan-jalan raya. Binatang ternakan dibiarkan lepas bebas berkeliaran di jalan- jalan raya. bukan sahaja banyak ternakan yang terkorban tetapi melibatkan korban nyawa pengguna jalan raya. Ternakan yang bebas merayau di jalan-jalan raya menyebabkan kecederaan, hatta kehilangan nyawa pengguna jalan raya, menyebabkan kerugian harta benda. Dan paling menyedihkan ramai keluarga yang menangisi kehilangan orang-orang tersayang dek ternakan yang lepas bebas itu.




Jalan raya dikotori dengan najis dan disirami dengan 'air wangi' yang dilepaskan oleh binatang ternakan. Tuan-tuan punya lembu tidak takut lembu-lembu akan terkorban dan dikorbankan di jalan raya. Sekiranya ada kemalangan terjadi dek kerana ternakan, masing-masing tidak akan mengaku ternakan itu kepunyaannya, kerana takut dituntut ganti rugi. Kendati pun telah banyak notis-notis yang dipampangkan oleh pihak-pihak berwajib mengenai tanggung-jawab tuanpunya ternakan, ianya seolah tiada apa-apa. Tuan punya ternakan bagaikan tidak mempunyai secebis perasaan pun untuk mengurung atau menambat ternakannya. Di dalam khutbah Jumaat, sering juga khatib membicarakan tentang hukum melepaskan binatang ternakan merayau merata-rata. Betapa berdosanya tuan punya ternakan kerana melepaskan binatang peliharaan memakan tanaman pekebun-pekebun, memakan dan merosakkan taman bunga majlis daerah dan majlis perbandaran, mengotorkan persekitaran yang dibersihkan dari masa ke masa. Melakukan kerja-kerja membersihkan najis lembu berulang-ulang kali. Binatang ternakan tetap dilepaskan setiap hari. Tuan punya binatang ini memang tidak mempunyai hati dan perasaan! Hari-hari tuan-punya binatang disumpah seranah oleh orang ramai yang terjejas keselesaan dan terpaksa membasuh najis ternakan yang memasuki pagar rumah yang sesekali terlupa untuk ditutup!Atau mengutuki tuan lembu kerana kesemua tanaman musnah dimakan dan dilanyak lembu!


Kepada pihak-pihak berwajib, tidak kira Majlis Perbandaran atau Bandaraya, ambillah tindakan. Tangkaplah semua ternakan yang berkeliaran. Kompaun tinggi-tinggi bagi kesalahan pertama dan masukkan cip ke dalam tubuh haiwan yang ditangkap. Daftarkan tuan punya. Bagi tangkapan kali kedua, ternakan itu patut dilelong. Tuan punya patut dibawa ke mahkamah. Satu Akta yang lebih tegas patut diadakan bagi mengelakkan perkara ini berterusan. Negara akan menjadi negara maju menjelang 2020! Tetapi kalau fenomena ini terus berlaku, kita masih terlalu jauh untuk menjadi negara maju. Mentaliti rakyat, terutama penternak-penternak kita jauh ke bawah. Didikan diperlukan bagi mengubah penternak, bukan hanya melalui kempen tetapi melalui kompaun dan saman yang serius!


Tindakan penguasaan amat lemah. Lembu dan kambing yang berkeliaran cepat sahaja boleh dikurung sekiranya ada pembesar yang datang melawat! Agaknya sampai bilakah kita boleh hidup dalam persekitaran yang bersih? Pengguna-pengguna jalanraya sendiri juga kerap membuang kotoran dan sampah ke jalan raya. Membuang selamba kulit-kulit buah-buahan dan pembalut makanan ke jalanraya tanpa ada sekelumit perasaan tanggung jawab untuk sama-sama menjadikan Malaysia negara bersih. Menjentik puntung-puntung rokok ke merata-rata tempat tanpa ada sedikit perasaan pun untuk sama-sama menjaga kebersihan alam sekitar. Bersih kelakuan dan bersih persekitaran. Bandingkanlah negara kita yang agama rasminya Islam, yang mementingkan kebersihan, dengan negara-negara lain di dunia, yang jauh lebih bersih walau pun bukan bernegara Islam.




Negara menuntut banyak pengorbanan dan iltizam semua individu dan pihak-pihak berwajib untuk merealisasikan sebuah negara maju dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Perubahan sikap tidak hanya dapat dibuat hanya melalui kempen semata-mata, tetapi dengan 'pengorbanan' dan tanggungjawab semua individu yang mewakili masyarakat seluruhnya.

Kekayaan....berapa kayakah dikatakan kaya?


Setiap tahun kita akan dihidangkan dengan senarai manusia terkaya di dunia. Berapakah kekayaan dalam bentuk mata wang yang dikatakan memiliki kekayaaan itu?


Kita lihat di antara orang yang dikatakan memiliki kekayaan itu sehingga 3.5.2008:


1. Warren Buffette - warga Amerika Syarikat

Berusia 77 tahun memiliki harta bernilai $62 billion.
Dia menduduki ranking teratas setelah saham Berkshire Hathaway meningkat

mendadak.

2.Carlos Slim Helu - Taikun dari Mexico

Pemilik Telekomunikasi

Memiliki kekayaan $60 billion

3.Bill Gates - tidak usah diperkenalkan kerana sering menduduki ranking teratas pada

kebanyakan tahun-tahun sebelumnya, pemilik Microsoft.

Memiliki kekayaan sebanyak $58 billion.

4.Laksmi Mittal - warga India menetap di London.

Menceburi Industri Pembuatan. Memiliki Kilang besi terbesar dunia.

Kekayaan - $45 billion

5.Mukesh Ambani - warga India juga (Negara kita bila lagi?)

Kekayaan - $43 billion.

Juga dalam industri pembuatan - petrochemical.


Sesungguhnya ALLAH SWT menjadikan alam ini untuk manusia memikirkan dan menjaganya. Tidak salah mencari kekayaan tetapi kita juga diminta untuk beribadat kepada-NYA. Janganlah kita asyik mencari kekayaan tetapi terus lupa untuk beribadat kepada-NYA dan tidak menjaga hak-hak orang lain. Terlalu ramai manusia lain yang hidup dalam kedaifan yang memerlukan bantuan dan pertolongan. Ada di antara orang-orang kaya di atas yang mengasaskan yayasan amal (foundations) untuk memberi bantuan kepada orang-orang yang ditimpa musibah kemarau dan penyakit HIV dan sebagainya. Tuhan menjadikan orang-orang kaya untuk mambantu orang-orang papa dan miskin dan dijadikan orang-orang yang kurang bernasib baik untuk membantu orang-orang kaya melakukan kerja-kerja yang tidak sangggup dilakukan sendiri oleh orang-orang kaya!


Di sebalik kekayaan di atas, saya ingin berkongsikan cerita ini, walaupun telah berulangkali diceritakan dan dibaca, sama ada diambil iktibar atau sebaliknya...cerita yang benar-benar berlaku di zaman Rasulullah...


Suatu hari Abdul Rahman bin Auf, saudagar terkaya di zamannya, telah terlewat datang untuk mengerjakan solat bersama-sama Rasulullah, menyebabkan dia tertinggal satu rakaat. Setelah selesai solat, datanglah beliau menemui Rasulullah. Dia menyatakan kekesalannya kerana tertinggal satu rakaat berjemaah bersama Rasulullah. Lalu dia berkata kepada Rasulullah:


"Ya, Rasulullah. Aku telah tertinggal satu rakaat berjemaah bersamamu. Apakah aku dapat menebusnya dengan bersedekahkan tanah kebun tamarku yang terbaik bagi menebusnya?"


Lalu Rasulullah memberitahunya, dia tidak dapat menebus satu rakaat yang ketinggalan itu dengan hartanya. Sesungguhnya bersembahyang berjemaah satu rakaat itu lebih bernilai lagi. Satu rakaat bersolat jemaah lebih besar imbangannya daripada dunia dan segala isinya. Begitulah jua imbalan solat sunat dua rakaat sebelum subuh. Tuhan akan membalasnya dengan kekayaan yang melebihi dunia dan segala isinya. Apatah lagi kalau kita bersolat secara berjemaah di masjid setiap waktu. Apakah kita tidak mahu kekayaan yang ditawarkan itu? Insya ALLAH.


Jadi fikir-fikirkanlah. Betapa kekayaan yang kita miliki, ianya tidaklah memberi apa-apa erti sekiranya kita tidak beriman dan sering tidak bersolat jemaah, apatah lagi kalau tidak bersolat, yang menandakan sifat-sifat ubudiah kita kepada pencipta-NYA.


Jadi, kepada yang merasakan kurang berharta dan tidak kaya, renungkanlah cerita Sayyidina Abdul Rahman bin Auf di atas, apakah kita tidak mahu memiliki kekayaan yang disediakan oleh ALLAH kepada kita?
Kayakah mereka yang dikatakan yang terkaya di dunia ini berbanding apa yang akan diperolehi oleh muslimin dan muslimat jika bersolat jemaah di masjid!