Friday, January 9, 2009

Satu penghapusan etnik terbaru













Gambar-gambar ini menceritakan segala-galanya. Rasa geram, kecewa, marah dan dendam kesumat yang meluat-luat kepada saudara-saudara Islam. Betapa kejamnya Zionis Yahudi yang sewenang-wenangnya menyembelih dan membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa sejak bermingggu-minggu lamanya. Sehingga artikel ini ditulis belum ada tanda-tanda akan hentinya kerana ia tidak mendapat apa-apa tentangan, melainkan protes dan tunjuk perasaan seluruh dunia. Tetapi mereka tidak akan peduli. Amerika akan tetap membela mereka. Hamas Palestin tetap dikatakan pengganas dan jahat. Kumpulan Fatah hanya mendiamkan diri di sebelah Tebing Barat. Hanya sesekali Hamas menyerang tanpa mempunyai daya dan kekuatan senjata. Ibarat tangan mereka terikat dan mereka diganyang habis-habisan. Palestin perlu dihapuskan! Itulah tekad Zionis Yahudi. Sudah beribu orang telah mati. Mereka tidak akan peduli. Penghapusan etnik bermula lagi. Satu lagi holocaust bermula. Tidak cukup dengan tragedi penyembelihan di Sabra dan Shatilla dahulu.

Tanah Palestin pasti akan dirampas inci demi inci, kaki demi kaki, batu demi batu dan akhirnya rakyat Plaestin akan menjadi pelarian di negeri sendiri. Ke manakah mereka akan pergi? Mesir menutup kemas pintu sempadan. Sempadan Rafah disekat, kononnya ia dikawal oleh pihak berkuasa Israel. Hairan bin ajaib, sempadan negara sendiri dikawal oleh orang asing! Tidak ada simpati sesama Islam, kanak-kanak dan kaum ibu yang kesempitan parah dan yang sedang merana dan ketakutan daripada keganasan syaitan yang bertopengkan manusia. Mereka tiada tempat lagi untuk melarikan diri. Saudara sesama Islam sendiri tidak mempunyai hati perut dan tidak mempunyai sekelumit simpati pun!

Ada negara Islam sendiri lebih memelihara persahabatan dengan negara polis dunia dan negara yang diwujudkan secara paksa di atas negara Palestin asalnya! Di situlah kelemahan negara-negara Islam. Tidak ada perpaduan. Kalau dihimpunkan segala kekayaan dan kekuatan bala tentera yang ada di negara Timur Tengah, pasti Palestin tidak diperkotak-katikkan dan dibuli semahu-mahunya. Negara Arab bukan tidak kuat.
Di manakah OIC? Oh, I see, I see. Hanya memandang tanpa berdaya melakukan apa-apa untuk membantu saudara sesama Islam terus diganyang dan disembelih. Pada satu ketika negara kita diberi kepercayaan mengepalai OIC, tidak ada apa-apa pembaharuan jua dibuat. kita gagal untuk menyatukan negara-negara Islam. Memang, mengikut sejarah pun, negara-negara Arab sukar untuk disatukan kerana tiada satu pun yang akan mengalah dengan jiran-jirannya. Sekiaranya mereka berpadu dan menggunakan segala kekayaan yang ada dengan membentuk satu kuasa ekonomi tanpa membuat pelaburan langsung dengan Amerika dan sekutu-sekutunya, pasti kita akan ada kekuatan untuk menakutkan Israel. Setidak-tidaknya tidaklah terlalu rakus menyerang negara Palestin. Lihatlah apa yang telah dilakukan oleh Hassan Nasrullah, pemimpin Hizbullah Lubnan. Walaupun pejuang-pejuang tidak ramai dan senjata yang ada tidak dapat menandingi Zionis Yahudi, akhirnya Israel dapat ditundukkan. Amerika barulah bersuara supaya peperangan dihentikan! Setelah melihat Israel telah tewas di bahagian Utara yang bersempadan dengan Lubnan. Kalau diteruskan, mungkin sebahagian besar Israel dapat dimusnahkan.
Negara Islam mesti melahirkan lebih ramai Hassan Nasrullah bagi memenangkan umat Islam! Kekentalan jiwa dan kekayaan iman akan meniupkan roh Islam dan akan memenangkan Islam! Saya menyeru supaya kita sama-sama berkorban untuk mengamankan saudara kita di Palestin. Iringan doa dan sumbangan banyuan berupa wang ringgit dan lain-lain barangan amat diperlukan bagi membantu saudara kita di sana. Janganlah terlalu mengharap kepada tindakan PBB. PBB hanya menjadi alat kepada negara-negara kuasa besar yang mempunyai kuasa veto, terutamanya Amerika. Setiap usul untuk mengenakan Israel pasti akan disekat dengan kuasa veto Amerika. Kita boleh memboikot barangan Amerika, tetapi berapa banyakkah syarikat-syarikat besar kepunyaan Amerika yang beroperasi di negara kita. Rata-rata pekerjanya terdiri daripada rakyat negara ini. Apakah mereka terpaksa berkorban dengan berhenti kerja. Apakah MAS terpaksa menjual kapalterbang kerana kebanyakan pesawat dibeli dari Syarikat Boeing dari Amerika? Di mana mahu membeli alatgantinya? Begitu juga pesawat pejuang tebuan yang juga dibeli daripada Amerika. Dan berapa banyak pula syarikat multinasional dari Amerika seperti AIA, Kentucky Fried Chicken, Gardenia, Coca Cola, Intel dsbnya yang beroperasi di negara kita? Dalam kegawatan ekonomi sekarang, apakah mereka berhenti kerja semata-mata untuk memboikot syarikat-syarikat dari negara Uncle Sam itu? Bagaimana kalau kita berada di tempat mereka? Dan perlu diingatkan Mesir telah pernah menewaskan Israel dalam peperangan menawan kembali Semenanjung Sinai di bulan Ramadhan semasa di bawah tampuk pemerintahan Presiden Anwar Sadat.

Dan letakkan diri kita pula di tempat mereka( rakyat Palestin). Bukan hanya simpati tetapi empati!Tindakan-tindakan terbaik harus dilakukan untuk membantu mereka.
Tahniah kepada MERCY Malaysia yang telah pun berada di sempadan Palestin!

Ya, ALLAH selamatkan rakyat Palestin yang sedang diasak dan dianiayai!


AMIN YA RABBUL ALAMIN.