Monday, March 29, 2010

DUNIA KESEMPURNAAN


Setiap orang inginkan kesempurnaan. Kesempurnaan yang bagaimana? kalau kesempurnaan hidup, apakah yang diingini? Harta dan wang berjuta-juta? Atau rumah bagaikan istana? Atau ingin mengahwini artis popular? Bukan hanya mempunyai taraf hidup yang tinggi, status yang dikagumi dalam negara dan tidak kurang mempunyai anak-anak yang berjaya. Setiap orang mempunyai impian dan cita-cita tersendiri. Ada yang tercapai dan ada yang tersungkur di tengah jalan. Sanggup menggadai nyawa dan maruah diri demi mengejar kebahagian dan kesempurnaan.
Apa yang boleh dikatakan ialah tiada manusia yang mendapat segala-galanya dalam erti kata kesempurnaan yang sebenar-benarnya. Selagi kita bernama manusia dan insan kerdil, tiada siapa yang sempurna dan maksum, melainkan para nabi-nabi, Rasul-Rasul dan para Salihin. Kekayaan tanpa taqwa dan iman tidak akan membawa manusia menjadi sempurna. Barangkali manusia yang hampir-hampir sempurna memiliki segala-galanya, kekayaan, kuasa dan ketaqwaan ialah Nabi Sulaiman SAW. Baginda memiliki takhta dan kekuasaan serta kekayaan. dapat menundukkan Balqis, para-para jin dan segala binatang. Nabi Muhammad, tentunya memiliki kesempurnaan iman yang tidak tertanding!
Para ibubapa seringnya mengharapkan anak-anak mereka menjadi pandai dan mendapat keputusan CEMERLANG dalam setiap peperiksaan. Para-para penguasa sekolah akan terus membandingkan keputusan keseluruhan pencapaian pelajar-pelajar mereka. dan bagi penguasa yang sekolahnya amat dhaif dan terletak di pedalaman yang sukar untuk sampai atau dilalui kenderaan, mendapat seorang dua pelajar mendapat 7, 8A adalah sudah cukup membanggakan dan boleh juga dikategorikan sebagai cemerlang?
Ibubapa seringnya akan turut berduka kalau keputusan peperiksaan anak-anak mereka tidak menghasilkan sesuatu sebagaimana yang diharapkan. Mereka turut menangis atas kegagalan anak-anak tetapi tidak berduka kalau nak-anak tidak dapat membaca al_Quran atau tidak solat lima waktu! Anehnya manusia mencari kesempurnaan dan kejayaan. Semuanya untuk dunia yang sementara ini.
Cemerlangkah pelajar-pelajar yang mendapat 9A, 15A dan hatta 20A kalau buruk perangai dan tidak menghormati ibubapa dan guru, tidak mempunyai sahsiah terpuji? Kita tidak lagi boleh mengatakan pelajar yang mendapat Straight A's itu cemerlang kalau majoriti pelajar telah mendapat straight A's sebelum itu. Tiadalah lagi cemerlang kalau sudah biasa dan kebanyakan orang telah mendapatkannnya. Cemerlang itu sendiri membayangkan bahawa ianya sesuatu yang extra-ordinary, lebih dari kebiasaan orang lain, barulah dikatakan cemerlang. Dan ianya perlu ditambah dengan sahsiah terpuji dan menjadi hamba ALLAH yang ubudiah dan menjadi serba boleh. Barulah boleh dikatakan Ulul Albab dan menjadi imtiaz, cream of cream.
Walahua'lam.