Saturday, April 25, 2009

Slumdog Millionaire - filem terbaik 2008 dihasilkan




Filem Slumdog Millionaire telah memenangi 8 daripada 10 kategori yang dipertandingkan di Academy Awards 2009. Filem ini memenangi:


1. Best Picture


2. Best Director


3. Best Adapted Screenplay


4. Best Film Editing


5. Best Sound Mixing


6. Best Cinematography


7. Best Original Score


8. Best Original Song.


Selain daripada itu filem ini juga menang 5 Critics' Choice Awards, 4 Golgen Globe dan 7 BAFTA Awards termasuk filem terbaik.

Filem ini telah diarahkan oleh Danny Boyle dan ditulis oleh Simon Beaufoy (lakonlayar) dan diadaptasi dari novel yang ditulis oleh seorang Diplomat, Vikas Swarup.
Filem ini telah mengangkat aktor kanak-kanak Rubina Ali, Azharuddin Mohamad Ismail dan Ayush Mahesh Khedakar yang melakonkan watak Latika, Salim Malik dan Jamal Malik yang diangkat dari kejiranan miskin dan daif di pinggir bandar di India. Mereka menjadi popular dalam masa yang singkat kerana kemenangan anugerah di Academy Awards tersebut. Sehingga ada khabar-khabar angin yang menyatakan bapa Rubina akan menjual anaknya itu kepada seorang jutawan di negara Timur Tengah bagi mendapatkan kekayaan segera supaya kehidupannya akan lebih terjamin. Tetapi berita itu disangkal oleh bapanya!


Sesungguhnya filem ini lain dari yang lain. Cerita yang memaparkan kisah seorang remaja yang telah terpilih untuk memasuki program Who Want To Be A Millionaire. Permohonan yang dihantar melalui jawapan telefon, secara tidak sengaja, telah dipilih secara rawak oleh komputer rancangan siaran program tersebut, setelah dia diminta untuk mengambilalih sebentar tugas seorang operator telefon. Ia memaparkan secara selang-seli di antara program tersebut dengan kisah hidup silamnya hingga ke saat dia memasuki program tersebut. Dia cuba ditipu oleh pengacara supaya tidak memenangi wang sebanyak 32 juta rupee, tetapi nasib tetap menyebelahinya. Dia tetap dengan pendiriannya dengan memberi jawapan yang diyakininya sendiri. Pemaparan yang berani yang menunjukkan kemiskinan dan kepapaan serta kedaifan orang-orang miskin serta anak-anak jalanan yang hidup merempat di India. Mereka hidup dalam dunia yang penuh kejahatan, penindasan, kezaliman serta penipuan. Tetapi di sebaliknya ada mesej yang jelas untuk dihayati, baik untuk pemerintah atau manusia dan kemanusiaan sejagat. Dan masih ada sifat kebaikan dalam hubungan kekeluargaan dan hubungan sesama manusia meskipun kadang-kadang mereka terpaksa melakukan kejahatan untuk meneruskan kehidupan dan kesinambungan hidup. Sesungguhnya ia satu filem sindiran tajam untuk kerajaan yang memerintah! Kerajaan patut lebih prihatin dengan kesengsaraan rakyat terbanyak. Kesejahteraan perlu diberikan kepada mereka. Rakyat dibiarkan hidup melarat dan menjadi mangsa sindiket mengaut kekayaan di atas ketidakupayaan orang-orang melarat dan miskin! Manusia sanggup mencungkil mata kanak-kanak untuk dijadikan pengemis agar lebih mendapat simpati orang ramai!
Sesungguhnya kita memerlukan filem-filem yang sebegini untuk mengangkat dunia perfileman kita. Bukan filem yang biasa-biasa sahaja temanya dan tidak mempunyai penghayatan.
Sebenarnya kita akan terasa amat puas bila menonton filem Slumdog Millionare ini. Sekurang-kurangnya inilah yang saya rasa setelah menonton filem ini.

Friday, April 24, 2009

Membaca 2, 3 buku sekaligus?




Membaca 2 atau 3 buku serentak, bukanlah bermaksud membaca kesemua bilangan ini secara serentak tetapi membaca dua atau tiga buku sebelum menamatkan pembacaan bagi satu-satu buku. Atau bukan juga membaca 3 buah novel menjadi satu kompilasi, satu trend baru penerbitan mutakhir ini. Saya telah membaca 3 buku yang dikatakan best-seller dalam kategorinya masing-masing.

Saya telah membaca buku yang dikatakan best-seller The Kite Runner, karangan Khalid Hosseini, warga Afghanistan yang telah berhijrah ke Amerika ketika kancah peperangan berlaku di antara tentera yang didokongi Amerika dan tentera Taliban.

Sebaliknya membaca buku Kitab Cinta Yusuf & Zulaikha karya Taufiqurrahman al-Azizy, yang dikatakan best-seller Timur Tengah di Indonesia, pada masa yang sama. Dan pada masa yang sama saya juga membaca sebuah buku yang memenangi hadiah utama peraduan menulis novel di Malaysia yang dianjurkan oleh sebuah badan ternama. Saya tidak ingin untuk menyebutkan nama buku atau penulisnya bagi buku ketiga itu. Novel ini mencakupi hampir 500 halaman. Apa yang ingin saya suarakan hanyalah merupakan perasaan atau pendapat saya semata-mata ke atas 3 buku-buku tersebut.


Saya mendapat tahu mengenai buku The Kite Runner melalui satu ulasan di akhbar. Beberapa lama saya berusaha untuk mendapatkan buku tersebut, sehinggalah pada suatu hari saya pergi ke kedai buku Kunikuniya di Bangunan Pencakar Langit Bangunan Berkembar Petronas. Di sanalah juga saya membeli buku Kitab Cinta Yusuf & Zulaikha, di samping membeli beberapa buku lagi untuk diri dan keluarga. Beberapa buku dibeli oleh anak saya yang banyak berlegar kisah dalam alam remaja dan zaman persekolahan.

Bagi novel The Kite Runner, pendahuluannya agak hambar dan sesekali saya mengagaknya seperti sebuah buku picisan yang dipenuhi dengan sumpah seranah dan kata-kata lucah (kerana pada awal babnya terdapat kata-kata yang sedemikian), tetapi ternyata ianya tersasar. Lukisan sebuah kehidupan yang ditelanjangi sewaktu era peralihan sebelum pengambilahan pemerintahan Taliban dan era pemerintahan Taliban. Kita tidak tahu apakah yang sebenarnya berlaku di sana, kecuali melalui berita-berita dunia yang mengkin telah diputarbelitkan dan digambarkan seburuk-buruknya pemerintahan Taliban.

Kisahnya diceritakan dengan secara jujur oeleh pengarangnya. Diceritakan pengalaman manis dan pahit semasa zaman remaja. Dibesarkan ditengah keluarga yang dihormati dan berada. Dibesarkan di dalam keluarga berketurunan Pashtun, memiliki kemewahan hidup, walaupun membesar tanpa belaian seorang ibu. Membesar bersama-sama dengan anak kepada orang gaji bapanya yang berketurunan Hazara yang dipandang rendah oleh masyarakat. Bapanya menyayangi anak orang gajinya sama seperti dia menyayangi anaknya sendiri. Dan anak orang gaji ini (Hassan) pula amat menyayangi anak majikannya. Sanggup menjadi galang ganti kepada keselamatan dan maruahAmir Khan, anak majikannya.

Dan Amir hanya mengetahui anak orang gajinya itu ialah saudara tirinya hasil persetubuhan haram bapanya dengan isteri Ali (Sanaubar) yang menjadi orang gajinya. Isterinya tidak mungkin akan dapat melahirkan anak kerana suaminya mandul kerana telah dikasi. Kisah ini hanya diketahui setelah Amir kembali ke Afghanistan kerana menziarahi saudaranya setelah dihubungi oleh Rahim Khan. Ketika itu bapa Amir telah pun meninggal dunia.

Ikutilah kisah menarik di dalam The Kite Runner ini.

Alangkah baiknya kalau buku ini dapat diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.
Sementara Buku Kitab Cinta Yusuf & Zulaikha pula ialah bertemakan kisah cinta antara dua sejoli yang pada awalnya sering bertelingkah dan salah sangka. Pada awalnya saya ingatkan ianya benar-benar cerita benar dari kitab suci mengenai Nabi Yusuf dan ia digarap dalam bentuk cerita yang menarik, rupa-rupanya ia tersasar. Yusuf, pemuda yang diceritakan hanyalah pemuda indonesia yang hidup di desa yang memiliki ketampanan dan mempunyai kelakuan terpuji serta mendalam ilmu agamanya. tetapi saya merasa pelik, mana mungkin seorang yang tidak berpelajaran tinggi (hanya banyak membaca hasil buku-buku yang dipinjam dari kawannya) boleh menjadi seorang yang berilmu tinggi dan dapat memberi kuliah(?) serta bersyarah dengan baik. Jalan ceritanya mendatar dan dirasakan kurang logik kerana terlalu mengagungkan watak Yusuf, walaupun di beberapa bab diceritakan juga kelemahan-kelemahan Yusuf. Endingnya dibuat seperti upset. Perlangsungan majlis melamar Zulaikha oleh keluarga Umar bertukar lamaran untuk Yusuf!
Dan sebuah lagi buku yang ditulis oleh seorang yang agak tersohor di Malaysia. Saya enggan untuk menamakannya. Cerita yang ditulis dan digarap memang baik. Diberi sentuhan dan diselangseli dengan ilmu dan teladan. Diberi nafas kemodenan dan tingginya ilmu warga Malaysia, dijalin dengan kegemilangan sejarah dan peradaban bangsa. Dirujuk dari pelbagai sumber supaya ia kelihatan begitu sempurna, tetapi entah kenapa untuk menghabiskannya begitu sukar sekali. Bukunya tebal dan sesekali terasa begitu ilmiah. Untuk menamatkan pembacaan, saya terpaksa mengambil masa melebihi sebulan! Biasanya kalau buku yang menarik, saya hanya akan mengambil masa dua, tiga hari sahaja untuk menghabiskannya.
Dalam pembacaan ketiga-tiga buah novel itu, buku yang memenangi hadiah utama peraduan mengarang di Malaysia inilah yang paling akhir saya sudahi.