Saturday, April 25, 2009

Slumdog Millionaire - filem terbaik 2008 dihasilkan




Filem Slumdog Millionaire telah memenangi 8 daripada 10 kategori yang dipertandingkan di Academy Awards 2009. Filem ini memenangi:


1. Best Picture


2. Best Director


3. Best Adapted Screenplay


4. Best Film Editing


5. Best Sound Mixing


6. Best Cinematography


7. Best Original Score


8. Best Original Song.


Selain daripada itu filem ini juga menang 5 Critics' Choice Awards, 4 Golgen Globe dan 7 BAFTA Awards termasuk filem terbaik.

Filem ini telah diarahkan oleh Danny Boyle dan ditulis oleh Simon Beaufoy (lakonlayar) dan diadaptasi dari novel yang ditulis oleh seorang Diplomat, Vikas Swarup.
Filem ini telah mengangkat aktor kanak-kanak Rubina Ali, Azharuddin Mohamad Ismail dan Ayush Mahesh Khedakar yang melakonkan watak Latika, Salim Malik dan Jamal Malik yang diangkat dari kejiranan miskin dan daif di pinggir bandar di India. Mereka menjadi popular dalam masa yang singkat kerana kemenangan anugerah di Academy Awards tersebut. Sehingga ada khabar-khabar angin yang menyatakan bapa Rubina akan menjual anaknya itu kepada seorang jutawan di negara Timur Tengah bagi mendapatkan kekayaan segera supaya kehidupannya akan lebih terjamin. Tetapi berita itu disangkal oleh bapanya!


Sesungguhnya filem ini lain dari yang lain. Cerita yang memaparkan kisah seorang remaja yang telah terpilih untuk memasuki program Who Want To Be A Millionaire. Permohonan yang dihantar melalui jawapan telefon, secara tidak sengaja, telah dipilih secara rawak oleh komputer rancangan siaran program tersebut, setelah dia diminta untuk mengambilalih sebentar tugas seorang operator telefon. Ia memaparkan secara selang-seli di antara program tersebut dengan kisah hidup silamnya hingga ke saat dia memasuki program tersebut. Dia cuba ditipu oleh pengacara supaya tidak memenangi wang sebanyak 32 juta rupee, tetapi nasib tetap menyebelahinya. Dia tetap dengan pendiriannya dengan memberi jawapan yang diyakininya sendiri. Pemaparan yang berani yang menunjukkan kemiskinan dan kepapaan serta kedaifan orang-orang miskin serta anak-anak jalanan yang hidup merempat di India. Mereka hidup dalam dunia yang penuh kejahatan, penindasan, kezaliman serta penipuan. Tetapi di sebaliknya ada mesej yang jelas untuk dihayati, baik untuk pemerintah atau manusia dan kemanusiaan sejagat. Dan masih ada sifat kebaikan dalam hubungan kekeluargaan dan hubungan sesama manusia meskipun kadang-kadang mereka terpaksa melakukan kejahatan untuk meneruskan kehidupan dan kesinambungan hidup. Sesungguhnya ia satu filem sindiran tajam untuk kerajaan yang memerintah! Kerajaan patut lebih prihatin dengan kesengsaraan rakyat terbanyak. Kesejahteraan perlu diberikan kepada mereka. Rakyat dibiarkan hidup melarat dan menjadi mangsa sindiket mengaut kekayaan di atas ketidakupayaan orang-orang melarat dan miskin! Manusia sanggup mencungkil mata kanak-kanak untuk dijadikan pengemis agar lebih mendapat simpati orang ramai!
Sesungguhnya kita memerlukan filem-filem yang sebegini untuk mengangkat dunia perfileman kita. Bukan filem yang biasa-biasa sahaja temanya dan tidak mempunyai penghayatan.
Sebenarnya kita akan terasa amat puas bila menonton filem Slumdog Millionare ini. Sekurang-kurangnya inilah yang saya rasa setelah menonton filem ini.

No comments: