Sunday, August 22, 2010

Kependidikan dan Kepenggunaan Pemanduan



Maaflah kerana menggunakan penambahan yang bunyinya melucukan.
Apa yang ingin saya utarakan kali ini ialah mengenai cara pemanduan kenderaan di jalanraya di Malaysia.
Ketua Polis Negara, beberapa hari lalu telah memberi amaran, saman ekor akan diteruskan bagi mendidik pemandu-pemandu!
Kini saman ekor yang terkumpul telah mencecah 10 juta tetapi pemandu tetap tidak terdidik juga. Saman ekor terus bertambah dari tahun ke tahun. Jalanraya tetap menjadi jalan menuju kematian, bukan jalan menuju kampung halaman bila tiba musim perayaan!
Apakah akan ditubuhkan pula satu sekolah khas bagi mendidik pemandu. Sekolah yang perlu dihadiri oleh bakal-bakal pemandu dan pemandu sedia ada yang telah menerima saman ekor dan saman kepala. Tempoh pengajiannya boleh mencakupi 2-3 tahun barulah tamat dan memperolehi sijil atau diploma!
Benarkah pemandu akan terdidik dengan disaman ekor? Pemandu-pemandu kenderaan sampai bila pun tidak akan terdidik atau tidak akan serik kalau disaman ekor...samanlah kepala! Macam mana mereka akan serik kalau mereka tidak tahu pun telah disaman. Mereka hanya tahu telah disaman setelah baru-baru ini telah dikejutkan setelah tidak dapat menyambung bayaran cukai jalan kerana disenaraihitamkan. Percayalah mereka tidak akan serik, apatah lagi kalau yang disaman itu benar-benar tidak bersalah. Nombor kenderaan mereka telah digunakan oleh pihak lain yang sengaja untuk mengabui pihak berkuasa. Ini bukan kes terpencil. Telah ramai pemilik kenderaan yang teraniaya di mana nombor plat kenderaan mereka digunakan di kenderaan bukan milik mereka.
Kamera untuk memerangkap pemandu laju dan lain-lain kesalahan jalanraya memang sengaja disorokkan bagi memerangkap mangsa! Apakah bilangan pesalah lalulintas telah ditetapkan sesekian banyak bagi menetapkan sasaran kerja polis trafik? Wallah hu'alam.
Di negera maju, pihak polis trafik lebih banyak membantu dari mengenakan pemandu. Mereka banyak menegur dan mendidik pemandu yang melakukan kesalahan.
Dalam pada Kerajaan menggalakkan rakyatnya memiliki kereta bagi melakukan kereta-kereta perusahaan nasional tetapi pada masa yang sama seolah-olahnya berkempen  -  janganlah bawa laju-laju, bawalah seperti kura-kura. Kura-kura berlawan lari dengan arnab pun boleh menang! Kalau memandu kenderaan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu dengan kelajuan 50kmj, agak-agaknya berapa hari boleh sampai?
Dalam kita mahu mendidik pemandu supaya berhemah, adalah baik rasanya anggota polis membuat sekatan pada setiap jarak yang munasabah. Kalau mereka masih menyalahi peraturan jalanraya, nasihatkanlah mereka untuk kali pertama. Bagi kali kedua, minta mereka membayar kompaun on-the-spot, mungkin RM50-RM100. barangkali ini lebih banyak mengajar dan membuatkan lebih beringat! Mungkin selepas itu mereka akan terus berhati-hati kerana perlu mempunyai wang dalam poket untuk membayar kompaun seterusnya sebelum sampai ke destinasi.
Kedua, disarankan supaya Kerajaan perlu menyediakan pengangkutan awam yang benar-benar cekap di semua tempat kalau mahu pengguna jalanraya menggunakan kenderaan awam. Prasarana jalanraya mestilah sempurna. kalau pengangkutan awam cekap, dirasakan semua orang tidak mahu memandu sendiri. Biarlah jalanraya dipenuhi pengangkutan awam! Di Melbourne, Australia, tidak banyak kenderaan persendirian yang memasuki bandar. Pengangkutan awam adalah pilihan utama kerana kecekapan pengangkutan awamnya. Jadi tiada kesesakan di dalam bandar.





Janganlah menahan jerat bagi mengenakan pengguna-pengguna jalanraya dengan alasan bagi mendidik pemandu. Tidak semua yang disaman itu bersalah. Ada yang menggunakan plat kenderaan mereka oleh pihak lain dan ada yang disaman tanpa sebab kerana kesalahan teknikal komputer jabatan polis trafik dan JPJ. Ada juga yang nombor plat yang disalah baca ketika jerat dikenakan!
Menjelang Malaysia mencapai status negara maju 2020 nanti, sepatutnya pengguna dan petugas-petugas telah masing-masing terdidik dan terbiasa  dan bersedia dalam kerangka negara maju yang sebenarnya. Kita tentu tidak mahu digelarkan Negara Maju yang serba bobrok dan bercelaru. Jadilah macam negara yang telah maju, pihak polis dan pihak berkuasa seboleh-bolehnya banyak membantu bukan banyak mengenakan pengguna.
Menjadi satu kepelikan di Malaysia, di mana jalan-jalan yang mempunyai dua lorong (bukan lebuhraya), had laju yang ditetapkan amat tidak munasabah, kadang-kadang 40-50kmj. Tetapi di tempat selorong dan berselekoh hadlajunya ialah 80-90kmj pula! Sepatutnya sebaliknya yang berlaku. Jalan yang lurus dan lebar, sepatutnya dibenarkan hadlajunya dibenarkan ke satu tahap yang munasabah.

Wednesday, August 4, 2010

Saman oh Saman...!

Mendukacitakan!
Itulah yang boleh saya luahkan setelah mengalami tekanan akibat saman ekor. Saya kononnya telah disaman di  negeri  Perak yang tidak pun saya kunjungi sejak bertahun-tahun. Semasa saman dikenakan, saya bertugas di negeri lain. Ada bukti saya bekerja pada bulan tersebut melalui punch-card. Lebih malang saya disaman atas kesalahan speeding menggunakan kereta yang tidak pun saya miliki. Tidak pun saya ketahui apakah jenis kenderaan itu dan siapa pemilik sebenarnya. Saya terasa benar-benar teraniaya. Saya ingin membuktikannya di mahkamah tetapi saman tidak pun diterima!
Telah saya hadir ke Pejabat Polis Trafik di tempat saya tetapi meminta saya menyelesaikannya di negeri Perak. Saya ke JPJ berdekatan, mereka mengatakan hanya pihak Polis Trafik yang boleh menyelesaikannya kerana mereka yang mengeluarkan saman. Boleh diselesaikan di mana-mana Balai Polis Trafik. Tidak tahu yang mana satu yang betul.
Ini memang betul-betul kes teraniaya! Kalau rakyat teraniaya kerana kerja-kerja baghal anggota kerja, sampai bila pun mereka tidak akan memaafkan mereka ini. Kerja hanya melepaskan batuk ditangga dan ingin melepaskan masalah sendiri-sendiri sahaja!
Macam mana nama saya terdaftar di kenderaan yang tidak pun saya miliki atau beli? Bukankah pendaftaran kenderaan hanya boleh dibuat oleh pegawai-pegawai di JPJ? Saya sukar untuk memaafkan anggota kerja yang telah menyebabkan saya bersusahpayah menghabiskan masa dan wang ringgit untuk menyelesaikan kes yang belum pun selesai ini. Nama saya telah pun diblacklist. Saya tidak boleh membuat bayaran pembaharuan cukai jalan kenderaan sah yang saya miliki dan menyambung bayaran lesen memandu. Saya disenaraihitamkan ke atas kesalahan yang tidak pun saya buat dan  kenderaan bukan milik saya.
Saya percaya ini bukan kes terpencil, masih ramai yang bersungut yang tidak sudah-sudah dan memaki hamun ke atas mereka yang telah menyebabkan kesusahan ke atas mereka. Tunggulah Tuhan membalasnya nanti.
Sekiranya mahu berlaku adil, hantarlah saman kepada pesalah-pesalah kalau betul mereka bersalah. Jika tidak mereka akan mendapatkan keadilan di mahkamah. Jangan memasang lukah ketika sungai semakin kering!
janganlah memaksa pemandu/pemilik kenderaan membayar ketika mereka mahu membaharui lesen atau cukai jalan. Itu satu bentuk penganiayaan kerana saman ekor tidak pernah mereka terima sebelumnya. Tanpa mereka ketahui.
Rakyat sedang menunggu ambang pilihanraya akan datang bagi mendapatkan keadilan!
kalau ada yang ingin respon dan berkongsi masalah yang sama?