Friday, July 24, 2009

Jasa PETRONAS


Sewaktu menaiki bas, Pak Tato yang menjadi jurutunjuk dan jurucakap syarikat pelancongan yang membawa saya dan rombongan melawat sekitar Jakarta secara tidak sengaja telah memberitahu, sejak kedatangan Petronas membuka setesen minyak di negaranya, telah membuka senario baru di negara Indonesia. Kebiasaannya setesen minyak yang kebanyakannya dimonopoli oleh syarikat-syarikat negara Barat, menjual minyak tidak mengikut sukatan yang betul. Ada penipuan dari segi kuantiti yang diisikan ke dalam tangki kenderaan. Dalam kata lain mengurangi jumlah kuantiti. Pengguna membayar harga mengikut jumlah yang ditetapkan tetapi dikurangi kuantiti semasa dimasukkan ke tangki kenderaan.

Tetapi bila Petronas mula memasuki pasaran Indonesia, jualan minyak oleh Petronas mengikut harga dan kuantiti sebenar. Dengan itu pengguna mula membanjiri dan meminati untuk menggunakan minyak di setesen Petronas. Begitulah peniaga yang jujur dan mengikut lunas-lunas perniagaan yang diajarkan dalam Islam. Sebelumnya syarikat minyak lain berurusniaga dengan cara yang kurang elok bagi mengaut keuntungan segera. Lalu Petronas telah mengubah senario perniagaan minyak di Indonesia. Itulah yang dikatakan oleh Pak Tato. Harap-harapnya itu adalah kebenaran dan hakikat sebenarnya.

Akhirnya syarikat minyak lain terpaksa mengikut jejak langkah PETRONAS! sesuatu yang patut warga Malaysia banggakan. Petronas telah banyak menyumbang untuk kemajuan negara dan memenuhi kantung kerajaan melalui hasil emas hitam yang diteroka di dalam dan luar negara.

Tuesday, July 21, 2009

GERHANA MATAHARI

Garisan Gerhana Matahari Penuh
Terpesona dengan kejadian gerhana matahari








Betapa kita mengagumi kejadian gerhana mentari pada hari ini 22.07.2009. Betapa besar lagi penciptaan matahari itu sendiri walaupun ianya merupakan sebahagian kecil daripada cakerawala dan sistem solar yang menghidup dan memberi nafas kepada kehidupan manusia dan lain-lain kehidupan. Kesemua ini merupakan sebahagian kecil dari jutaan ciptaan ALLAH yang tidak terhitung dan kita gagal untuk mempelajari dan merenungi keajaiban yang berlaku dengan mata hati dan akal budi. DIA mahu kita menginsafi diri dan tunduk kebesaran-NYA. Ia menunjukkan MAHA Pencipta dan MAHA Agung ALLAH yang tidak terbanding dengan apa-apa sekali pun.
Sempena fenomena gerhana matahari ini kita disarankan lebih banyak berzikir dan melakukan solat gerhana matahari sebagai tanda ubudiah kita terhadap ALLAH.

Thursday, July 16, 2009

Perniagaan Dunia dan Akhirat

Surau yang disediakan di tingkat 2 Hotel
Buku-buku rujukan agama disusun rapi di rak



Bilik bersebelahan surau tempat belajar Al-Quran dan Bahasa Arab

Ketika melancong ke Bandung, saya menginap di Hotel Alia. Pada waktu subuh, lebih kurang jam 4.30 pagi, kedengaran berkumandang azan Subuh yang memukau. Awalnya waktu subuh di sana. Kedengaran amat dekat. Saya meninjau-ninjau dari jendela. Di luar bilik masih kelihatan gelap dan kelam. Tidak nampak sebarang menara masjid. Tetapi azan itu kedengaran amat dekat. Seolah-olahnya sekitar hotel itu sahaja tetapi surau atau masjid tetap tidak kelihatan.
Di sebelah paginya setelah bersarapan, saya meninjau-ninjau dari ruang lobi dan naik ke tingkat dua. Wah rupanya terdapat surau di tingkat itu. Disediakan oleh pengurusan Hotel untuk kemudahan solat karyawan/karyawatinya (pekerja lelaki dan perempuan) bersolat. Ruang solatnya agak luas. Dan ia menganjur pula ke sisi hotel melalui tangga asing yang boleh digunakan oleh orang-orang yang bukan menjadi penyewa bilik untuk sama-sama bersolat. Saya sempat menemui muazzin yang juga menjadi imam. Masih muda.
Bagusnya hotel ini. Selain menyediakan raung solat yang luas, disediakan juga ruang tempat belajar Al-Quran dan bahasa Arab. Terdapat buku-buku agama yang disediakan di atas rak yang tersusun kemas.
Pengurusan Hotel rasanya telah menunaikan tanggungjawabnya untuk mencari kekayaan dunia dan kebahagiaan akhirat. Harap-harapnya lebih banyak pemilik-pemilik Hotel di negara kita yang menurut jejak langkah Hotel Alia ini.

Monday, July 13, 2009

Banyak Berjalan Luas Pandangan

BEREHAT SETELAH MEMBELI BELAH
KESIBUKAN DI JALAN PASAR BARU

TEMPAT MENGINAP DI JAKARTA



Jenuh berjalan, bertemu dengan pelbagai ragam manusia. Peniaga-peniaga jalanan dan peniaga di dalam gedung perniagaan amat ramah menegur pelancong-pelancong Malaysia yang konon banyak membawa wang berpuluh jutaan. Apa tidaknya seribu ringgit tukarannya menjadi lebih tiga juta rupiah. Tiba-tiba sahaja menjadi jutawan segera.




Penat dan rimasnya diserbu peniaga yang mahu kita membeli apa sahaja barangan jualan mereka. Mereka mencuba pelbagai cara. Tidak akan penat-penat atau merasa berputus asa walaupun dimarah berkali-kali. Mereka mencari rezeki dan ingin terus hidup dalam kota besar Jakarta. Rakyatnya berpuluh juta yang menghuni kota metropolitan itu. Penghuni kota Jakarta melebihi jumlah keseluruhan rakyat Malaysia keseluruhannya. Jadi bayangkan bagaimana manusia yang sebegitu ramai untuk meneruskan hidup. Itulah mereka sanggup untuk melakukan apa-apa pekerjaan untuk meneruskan kehidupan!




"Beli pak! Beli pak."




"Belanja pakcik, belanja pakcik!" Entah sejak bila pula mereka telah pandai menggunakan istilah Pakcik. Kalau tidak biasanya akan dipanggil pak atau ibu! Mereka mula mempelajari istilah Malaysia. Sebagaimana peniaga-peniaga Arab di Tanah Suci Makkah dan Madinah yang agak pandai berbahasa Melayu.

Sunday, July 12, 2009

Kebesaran ALLAH di mana-mana

PENULIS BERLATARBELAKANKAN KAWAH GUNUNG BERAPI
GUNUNG BERAPI DI TANGKUBAN PRAHU

KELIHATAN GUNUNG TANGKUBAN PRAHU DARI JAKARTA


KAWAH GUNUNG BERAPI DI TANGKUBAN PRAHU



Dua bulan lepas, saya mendapat kesempatan melawat ke Indonesia, melawat Tanah Abang, Jakarta dan Puncak serta tidak ketinggalan ke Tangkuban Prahu, terletak di Bandung di sebelah Jawa Barat, tentunya dengan ketentuan dan rahmat dari-NYA jua. Selain membeli apa yang patut, sebagaimana lain-lain pelawat, sebagai buah tangan untuk kenalan dan sanak saudara di Malaysia, menginsafi diri mengenang kekerdilan diri di samping alam ciptaan ALLAH yang pelbagai dan menakjubkan! Pengarang sempat berkunjung ke Tangkuban Prahu, di Bandung. Terletak di sebuah gunung yang dilitupi udara sejuk dan awan gemawan sejuk yang deras bergerak. Di bawah, di dalam kawah gunung berapi yang masih lagi aktif, kelihatan wap masih berasap. Di perutnya mungkin masih bergelegak dengan wap panas belerang!




Mengikut cerita, Tangkuban Prahu ( dalam bahasa Sunda) atau Perahu yang terlungkup itu mempunyai beberapa versi dongeng yang diceritakan. Antara yang terkenal ialah seperti ceritera ini:


Ian menceritakan Dayang Sumbi, seorang puteri yang cantik, tinggal di Jawa Barat. Mempunyai seorang putera bernama Sangkuriang. Anak yang degil dan derhaka. Lalu dia dihalau dari istana. Dalam kesedihan itu, Dayang Sumbi dikurniai kuasa sakti yang menjadikannya kelihatan sentiasa muda. Awet mudalah tu.


Selepas terbuang jauh dari kampung halaman, Sangkuriang terasa benar ingin pulang untuk menemui ibunya, Dayang Sumbi. Setelah bertemu, keduanya tidak lagi mengenali antara satu sama lain. Sangkuriang telah jatuh cinta dengan kecantikan Dayang Sumbi dan ingin mengahwininya. Dayang Sumbi hanya mengetahui bakal suaminya itu adalah anaknya sendiri setelah melihat tanda-tanda lahir di tubuh Sangkuriang, ketika dia ingin keluar berburu bagi persiapan pernikahannya. Ternyatalah pemuda tampan itu adalah anaknya sendiri.


Untuk menghalang perkahwinan itu Dayang Sumbi mensyaratkan Sangkuriang mendirikan sebuah empangan dan membina senuah kapal besar bertujuan untuk menyeberang sungai. Sangkuriang bersegera pergi bertapa dan meminta kepada Gergasi Hijau membantu kerja-kerjanya. Kedua-duia kerja itu perlu dilaksanakan sebelum terbit matahari keesokan hari.
Dayang Sumbi melihat kerja-kerja Sangkuriang hampir terlaksana. Lalu dititahkan hamba sahayanya supaya segera memnghampar kain sutera merah besar di sebelah Timur. Dari jauh kelihatan seolah-olah seperti mentari pagi telah menunjukkan diri.
Sangkuriang tertipu. Merasakan kerja-kerjanya sia-sia sahaja lalu ditendangnya empangan dan kapal yang telah hampir siap. Empangan pecah dan menyebabkan banjir besar. Kapal terlungkup. Bentuk kapal itulah yang kelihatan di atas Gunung Tangkuban Prahu jika dilihat dari jauh.
Walau apapun moral ceritanya, fenomena kawah gunung berapi yang masih berasap itu tetap menakjubkan. Bila-bila sahaja boleh memuntahkan laharnya. Ia menandakan kejadian dan kebesaran Illahi, kalau kita melihat dengan mata hati dan merenung dalam-dalam mengenai kejadian alam yang dijadikan ALLAH. Siapalah kita di samping Illahi!