Wednesday, August 4, 2010

Saman oh Saman...!

Mendukacitakan!
Itulah yang boleh saya luahkan setelah mengalami tekanan akibat saman ekor. Saya kononnya telah disaman di  negeri  Perak yang tidak pun saya kunjungi sejak bertahun-tahun. Semasa saman dikenakan, saya bertugas di negeri lain. Ada bukti saya bekerja pada bulan tersebut melalui punch-card. Lebih malang saya disaman atas kesalahan speeding menggunakan kereta yang tidak pun saya miliki. Tidak pun saya ketahui apakah jenis kenderaan itu dan siapa pemilik sebenarnya. Saya terasa benar-benar teraniaya. Saya ingin membuktikannya di mahkamah tetapi saman tidak pun diterima!
Telah saya hadir ke Pejabat Polis Trafik di tempat saya tetapi meminta saya menyelesaikannya di negeri Perak. Saya ke JPJ berdekatan, mereka mengatakan hanya pihak Polis Trafik yang boleh menyelesaikannya kerana mereka yang mengeluarkan saman. Boleh diselesaikan di mana-mana Balai Polis Trafik. Tidak tahu yang mana satu yang betul.
Ini memang betul-betul kes teraniaya! Kalau rakyat teraniaya kerana kerja-kerja baghal anggota kerja, sampai bila pun mereka tidak akan memaafkan mereka ini. Kerja hanya melepaskan batuk ditangga dan ingin melepaskan masalah sendiri-sendiri sahaja!
Macam mana nama saya terdaftar di kenderaan yang tidak pun saya miliki atau beli? Bukankah pendaftaran kenderaan hanya boleh dibuat oleh pegawai-pegawai di JPJ? Saya sukar untuk memaafkan anggota kerja yang telah menyebabkan saya bersusahpayah menghabiskan masa dan wang ringgit untuk menyelesaikan kes yang belum pun selesai ini. Nama saya telah pun diblacklist. Saya tidak boleh membuat bayaran pembaharuan cukai jalan kenderaan sah yang saya miliki dan menyambung bayaran lesen memandu. Saya disenaraihitamkan ke atas kesalahan yang tidak pun saya buat dan  kenderaan bukan milik saya.
Saya percaya ini bukan kes terpencil, masih ramai yang bersungut yang tidak sudah-sudah dan memaki hamun ke atas mereka yang telah menyebabkan kesusahan ke atas mereka. Tunggulah Tuhan membalasnya nanti.
Sekiranya mahu berlaku adil, hantarlah saman kepada pesalah-pesalah kalau betul mereka bersalah. Jika tidak mereka akan mendapatkan keadilan di mahkamah. Jangan memasang lukah ketika sungai semakin kering!
janganlah memaksa pemandu/pemilik kenderaan membayar ketika mereka mahu membaharui lesen atau cukai jalan. Itu satu bentuk penganiayaan kerana saman ekor tidak pernah mereka terima sebelumnya. Tanpa mereka ketahui.
Rakyat sedang menunggu ambang pilihanraya akan datang bagi mendapatkan keadilan!
kalau ada yang ingin respon dan berkongsi masalah yang sama?

No comments: