Saturday, September 26, 2009

Mercun, perayaan dan kesengsaraan...!

Ini dua kisah yang berlaku semasa perayaan dan sambutan Eidul Fitri.
Kisah1
Kisah inibenar-benar berlaku di malam Eidul Fitri yang baru berlalu. Seorang hamba Allah telah menaiki motorsikal bersama anaknya. Dia baru pulang dari rumah ibunya setelah menikmati hidangan berbuka puasa. Ketika pulang , di satu persimpangan, tiba-tiba satu kawanan lembu menerjah ke tengah jalan raya. Datang sebuah kereta yang laju lalu melanggar salah seekor lembu. Lembu terjatuh ke tengah jalan. Tanpa sempat mengawal motorsikalnya hamba Allah itu terlanggar pula lembu yang jatuh. Dia dan anaknya terjatuh ke tengah jalan. Dengan takdir Tuhan datang pula sebuah kereta lain tanpa kawalan, lalu melanggar hamba Allah. Dia mendapat kecederaan parah dan terus meninggal dunia. Anaknya terselamat.
Dari cerita yang diperolehi, kawanan lembu tadi menerjah ke jalan raya setelah terkejut kerana ada manusia yang tidak bertanggung jawab meletupkan mercun ke arah lembu-lembu itu. Hamba Allah, seorang wanita meninggal dunia gara-gara orang bermain mercun! Dia meninggalkan anak-anak yang masih memerlukan kasih sayangnya! Anak-anaknya menjadi anak yatim.

Kisah 2

Di malam eidulfitri, dua buah keluarga, jiran penulis, riuh rendah kerana ramai keluarga dan anak-anak menantu pulang beraya di kampung. Mereka semuanya orang-orang kota yang turut pulang memeriahkan kampung dan desa. Kedua-dua keluarga itu bermain sakan. Pelbagai jenis bunga api dan mercun yang dibakar. Bila lagi hendak dilepaskan gian untuk membakar mercun dan bunga api. Mula-mula dilancarkan ke udara. Lama-lama mereka berbalas tembak dan ditakdirkan satu mercun telah meletup amat hampir dengan kelompok manusia di sebuah rumah. Kejadian itu menyebabkan keluarga terbabit naik berang. Salah seorangya segera pergi ke rumah keluarga yang menembak mercun ke arah rumah keluarganya. Pergi dengan hati menyinga. Sanggup untuk bertumbuk masa itu. Alhamdulillah, perbalahan tidak berpanjangan. Di malam eidul fitri, sepatutnya umat Islam membanyakkan takbir dan bertahmid, tetapi mereka asyik membakar mercun dan bunga api yang hampir mencetuskan perbalahan, bukannya saling maaf memaafkan.

Kepada manusia yang bergelar muslimin, fahami sambutan hari lebaran. Sambutan syawal sepatutnya lebih banyak menginsafkan bukan sebaliknya. Jagailah perasaan jiran-jiran lain yang mungkin sedang sakit atau sedang bersolat.

Fikir-fikirkanlah dari dua kisah iktibar di atas!





TRIVIA
Mercun asalnya dicipta oleh rakyat negara China. Tradisi membakar mercun mengiringi sambutan Cap Goh Mei. Kononnya untuk menghalau hantu dan jin.

HUKUMAN DALAM ISLAM

Dalam Islam, bagi setiap pembunuhan tidak sengaja, pembunuhnya mestilah membayar diyat kepada keluarga si mati sebanyak 100 ekor unta. Sedaif-daif unta, nilai harganya sekurang-kurangnya bernilai RM1000.00. Bagi 100 ekor unta tentulah sekurang-kurangnya RM100,000.00. bagi iktibar kejadian di atas, bagi sesiapa yang bermain mercun dan tuan punya lembu yang melepaskan lembunya berkeliaran, sewajarnya terpaksa membayar sekurang-kurangnya sebanyak RM100,000.00 kepada keluarga si mati kerana menyebabkan kematian yang tidak disengajakan itu. Begitulah halusnya pertimbangan yang ditetapkan dalam agama dalam penetapan dan menjaga keharmonian serta silaturrahim sesama manusia. Kita diajarkan supaya tidak menyakitkan orang lain dengan apa-apa perbuatan sekalipun. Sekiranya tidak dijelaskan dalam tempoh enam bulan, hutang itu akan terus bertambah. Sekiranya tidak dibayar juga maka si mati akan menuntut hutang itu di hari pembalasan (akhirat) nanti.

Wallahu'alam.






No comments: