Friday, December 19, 2008

ALAHAI SEPASANG KASUT......!




Saya pernah membaca sebuah antologi bertajuk 'Kasut Hitler', himpunan cerpen-cerpen yang memenangi hadiah musim 1995, yang disiarkan di dalam penerbitan Utusan. Sebuah daripadanya bertajuk Kasut Hitler, yang ditulis oleh N.F. Abdul Manaf. Menampilkan sikap seorang wanita, Salome (Musalmah), seorang wanita yang kuat semangat dan kental pendiriaannya. Memakai kasut ala Hitler yang mencerminkan kekuatan wanitanya! Memakai kasut yang tebal tapaknya bagi meningkatkan ketinggian dan ketrampilan dirinya yang agak 'pendek'. Begitulah kasut yang melambangkan kekuatan!


Saya teringatkan cerita ini hanya secara kebetulan bila Presiden Amerika Syarikat, Mr. Goerge W Bush 'diraikan' dengan kasut terbang di Iraq. Negara yang pernah diinjak-injak dan dipijak maruah, kemerdekaan dan identiti mereka. Maruah rakyat Iraq bagaikan dipijak-pijak oleh kasut orang-orang Amerika dan negara-negara lain yang turut bersekongkol. Iraq mula diserang oleh sekutu 'pengganas' Amerika bermula pada 20Mac, 2003 dengan 40 peluru berpandu Tomahawk. Serangan terhadap Iraq yang langsung tidak berpaksikan apa-apa alasan munasabah oleh Amerika, tetapi semata-mata untuk menggulingkan Presiden Saddam Hussein dan kerakusan untuk membolot kekayaan ekonomi minyak negara Timur Tengah itu. Iraq adalah di antara negara pengekspot minyak terbesar dunia masa itu.


Peristiwa Presiden George W Bush dibaling kasut, dua kali berturut-turut (sepasang kasut) oleh wartawan televisyenIraq, Muntadhar al-Zeidi, 28 tahun, disambut gembira oleh rakyat Iraq. Beliau seakan-akan menjadi hero yang dijulang serta merta. Beliau seakan-akan telah mengembalikan maruah rakyat Iraq yang telah dipijak-pijak oleh Amerika sebelum ini. Itulah nilai sepasang kasut terbang!. Dia sebenarnya seorang wira!
Dan dikhabarkan pembuat kasut yang dipakai wartawan terbabit di negara Turki telah menerima tempahan lebih daripada 300,000 pasang kasut terutamanya daripada negara Timur Tengah. Satu rangsangan ekonomi yang baik untuk pembuat kasut berkenaan.


Seorang lelaki Mesir, Saad Gumas amat mengagumi dan menghormati wira baru Iraq ini, sanggup menawarkan anak perempuannya, Amal untuk dikahwini wartawan muda Iraq yang berani itu. Tawaran sebagai penghargaan beliau di atas keberanian anak muda itu menebus maruah rakyat bangsa Arab yang telah dipijak-pijak oleh Amerika sejak bertahun-tahun lamanya. Sejak Presiden Saddam Hussein diguling dan dihukum gantung! Sejak itu maruah rakyat Iraq tergadai!


Sepasang kasut penebus maruah bangsa. Alangkah eloknya kalau kedua-dua belah kasut itu terbang dan singgah ke muka Ketua Polis Dunia itu!

No comments: