Friday, December 5, 2008

Tak Naaak......




Kepada penggemarnya, betapa nikmatnya menyedut asapnya yang bercampur narkotin, tar dan sebagainya, setelah dibakar api yang cerah setiap kali hujungnya disedut. Rokok, betapa harganya dinaikkan cukainya setiap tahun olehKerajaan, biar tidak makan asalkan dapat menyerup!Alangkah puasnya?




Sesekali menyedut dan menghembus, tidak sedar lagi siapa di sebelah kita. Isteri, anak-anak atau rakan-rakan yang tidak pun merokok! Di negeri Selangor, Fatwa telah dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor, ......cari-carilah sendiri fatwanya.




Kepada perokok, bersimpatilah kepada orang-orang tersayang di sebelah, di rumah atau di tempat-tempat bertutup. Kalau anda seorang sahaja yang merokok dan bahana penyakit yang datang dari asap tembakau terkena diri sendiri, tidak mengapalah. Sekali anda merokok, orang-orang di sekeliling anda jua turut merokok. Menjadi perokok pasif atau dipanggil 'secondhand smokers'. Di Amerika Syarikat, seramai 38,000 orang setahun yang menghidapi barah paru-paru kerana disebabkan menjadi 'secondhand smokers' ini. Di negara kita entah berapa ramai lagi kerana peratus perokok di Malaysia jauh lebih tinggi lagi.




Dan ingatlah, selain membakar dan merosakkan paru-paru sendiri dan orang lain, secara tidak langsung kita telah membantu pekilang rokok yang sebahagian besar dimiliki oleh konglomerat luar yang menyumbang beberapa peratus kepada negara Israel yang bermaharajalela menyembelih rakyat Palestin. Perokok mendapat sahamnya terhadap kekejaman Yahudi di bumi Anbiya' itu.




Barangkali perokok itu kebal orangnya! Api dijepit di bibir mulut sahaja. Tidak sedar api yang membakar paru-paru dan jantung sendiri dan orang di sekelilingnya. Rokok adalah penyebab utama penyakit barah paru-paru. Mengikut kajian, 87% penyakit barah paru-paru disebabkan oleh rokok! Fikir-fikirkanlah.




Penulis berpengalaman mengiringi abang ipar membuat pembedahan pintasan koronori di London. Terpaksa dibuat di luar negara kerana IJN telahmempunyai senarai panjang menanti untuk dibuat pembedahan jantung. Abang ipar mendapat sakit jantung yang disahkan doktor pakar kerana jantungnya tersumbat. 99% disebabkan nikotin dan tar dari tabiat menghisap rokok. Alangkah siksanya menahan sakit jantung. Oksigen tersekat kerana saluran darah tidak dapat dipamkan ke jantung. Ongkosnya bukan sedikit.




Sebelum anda sakit, bayang-bayangkanlah pada waktu malam. Renung wajah manis dan 'innocence' anak-anak dan isteri anda. Mahukah anda meninggalkan mereka dalam tangisan kerana kepergian anda kerana penyakit yang dicari? Ya, Jodoh pertemuan dan hidup mati anda telah ditentukan Illahi, tetapi kita diseru berusaha dan berikhtiar supaya menjauhi bahaya dan menjalani gaya hidup sihat.




Janganlah dibuang puntung-puntung rokok merata-rata, atau dibuang ke atas lantai atau jalan dan memijak-mijaknya dengan hujung tapak kasut! Betapa hinanya puntung rokok itu. Puntung itulah yang dijepitkan ke bibir mulut anda!




Kalau terpaksa juga kerana terlalu gian, merokoklah jauh-jauh dari orang ramai. Apatah lagi kalau anda seorang guru, jangan tunjukkan teladan yang baik kepada anak murid. "Anak-anak, jangan hanya pandai berkata jangan hisap rokok!". Di luar kawasan sekolah cikgu pulun habis-habis!


Bayangkanlah sambungkan penyudah kepada pembayang pantun ini:


Pergi berburu ke padang datar


dapat rusa berbelang kaki....


kalau berguru kepalang ajar


....................................................


Penulis pernah menaiki lif di satu jabatan kerajaan satu masa dulu, kebetulan ada seorang yang tidak dikenali menaiki bersama-sama. Rokok masih terjepit di bibir. Menghirup puas-puas dan menghembus asapnya yang memualkan. Tidak langsung merasa bersalah atau mematikan terlebih dahulu api rokoknya. Baunya sungguh meloyakan!
Di dalam bas ekspres dan di dalam teksi, kadang-kala pemandunya turut menghisap rokok, kononnya untuk menghilangkan rasa kantuk! Bersimpatilah kepada penumpang anda!




Saya TAK NAK BELI ROKOK atau SAYA TAK MAHU BERHENTI MEROKOK?

No comments: