Thursday, December 4, 2008

LEMBU dan KORBAN




Tidak lama lagi pada 10 Zulhijjah,1429H akan tibalah pula Eidul Adha. Umat Islam yang mengerjakan haji akan wukuf di Arafah. Di sana terdapat Bukit Rahmah di Gunung Arafat yang memercutandakan tempat pertemuan dua insan bernama Manusia - Adam dan Hawa, setelah dikeluarkan dari syurga. Lalu dipertemukan semula setelah dipisahkan beberapa lama.




Di tempat kita, akan ramailah yang akan melakukan kerja-kerja korban binatang ternakan sama ada lembu, kambing atau unta bagi yang mampu, sebagai tanda menyambut saranan agama. Dalam sejarah Islam, Nabi Ibrahim alaihiwassalam melakukan penyembelihan seekor kibas yang dianugerahi Allah kepadanya sebagai ganti 'pengorbanan' putera tercinta Nabi Ismail alaihiwassalam.




Di negara kita, selain korban lembu yang dilakukan pada 10, 11 dan 12 Zulhijjah, tidak kurang juga lembu dan lain-lain ternakan yang 'terkorban' di jalan-jalan raya. Binatang ternakan dibiarkan lepas bebas berkeliaran di jalan- jalan raya. bukan sahaja banyak ternakan yang terkorban tetapi melibatkan korban nyawa pengguna jalan raya. Ternakan yang bebas merayau di jalan-jalan raya menyebabkan kecederaan, hatta kehilangan nyawa pengguna jalan raya, menyebabkan kerugian harta benda. Dan paling menyedihkan ramai keluarga yang menangisi kehilangan orang-orang tersayang dek ternakan yang lepas bebas itu.




Jalan raya dikotori dengan najis dan disirami dengan 'air wangi' yang dilepaskan oleh binatang ternakan. Tuan-tuan punya lembu tidak takut lembu-lembu akan terkorban dan dikorbankan di jalan raya. Sekiranya ada kemalangan terjadi dek kerana ternakan, masing-masing tidak akan mengaku ternakan itu kepunyaannya, kerana takut dituntut ganti rugi. Kendati pun telah banyak notis-notis yang dipampangkan oleh pihak-pihak berwajib mengenai tanggung-jawab tuanpunya ternakan, ianya seolah tiada apa-apa. Tuan punya ternakan bagaikan tidak mempunyai secebis perasaan pun untuk mengurung atau menambat ternakannya. Di dalam khutbah Jumaat, sering juga khatib membicarakan tentang hukum melepaskan binatang ternakan merayau merata-rata. Betapa berdosanya tuan punya ternakan kerana melepaskan binatang peliharaan memakan tanaman pekebun-pekebun, memakan dan merosakkan taman bunga majlis daerah dan majlis perbandaran, mengotorkan persekitaran yang dibersihkan dari masa ke masa. Melakukan kerja-kerja membersihkan najis lembu berulang-ulang kali. Binatang ternakan tetap dilepaskan setiap hari. Tuan punya binatang ini memang tidak mempunyai hati dan perasaan! Hari-hari tuan-punya binatang disumpah seranah oleh orang ramai yang terjejas keselesaan dan terpaksa membasuh najis ternakan yang memasuki pagar rumah yang sesekali terlupa untuk ditutup!Atau mengutuki tuan lembu kerana kesemua tanaman musnah dimakan dan dilanyak lembu!


Kepada pihak-pihak berwajib, tidak kira Majlis Perbandaran atau Bandaraya, ambillah tindakan. Tangkaplah semua ternakan yang berkeliaran. Kompaun tinggi-tinggi bagi kesalahan pertama dan masukkan cip ke dalam tubuh haiwan yang ditangkap. Daftarkan tuan punya. Bagi tangkapan kali kedua, ternakan itu patut dilelong. Tuan punya patut dibawa ke mahkamah. Satu Akta yang lebih tegas patut diadakan bagi mengelakkan perkara ini berterusan. Negara akan menjadi negara maju menjelang 2020! Tetapi kalau fenomena ini terus berlaku, kita masih terlalu jauh untuk menjadi negara maju. Mentaliti rakyat, terutama penternak-penternak kita jauh ke bawah. Didikan diperlukan bagi mengubah penternak, bukan hanya melalui kempen tetapi melalui kompaun dan saman yang serius!


Tindakan penguasaan amat lemah. Lembu dan kambing yang berkeliaran cepat sahaja boleh dikurung sekiranya ada pembesar yang datang melawat! Agaknya sampai bilakah kita boleh hidup dalam persekitaran yang bersih? Pengguna-pengguna jalanraya sendiri juga kerap membuang kotoran dan sampah ke jalan raya. Membuang selamba kulit-kulit buah-buahan dan pembalut makanan ke jalanraya tanpa ada sekelumit perasaan tanggung jawab untuk sama-sama menjadikan Malaysia negara bersih. Menjentik puntung-puntung rokok ke merata-rata tempat tanpa ada sedikit perasaan pun untuk sama-sama menjaga kebersihan alam sekitar. Bersih kelakuan dan bersih persekitaran. Bandingkanlah negara kita yang agama rasminya Islam, yang mementingkan kebersihan, dengan negara-negara lain di dunia, yang jauh lebih bersih walau pun bukan bernegara Islam.




Negara menuntut banyak pengorbanan dan iltizam semua individu dan pihak-pihak berwajib untuk merealisasikan sebuah negara maju dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Perubahan sikap tidak hanya dapat dibuat hanya melalui kempen semata-mata, tetapi dengan 'pengorbanan' dan tanggungjawab semua individu yang mewakili masyarakat seluruhnya.

No comments: