Monday, December 15, 2008

Guru Atau Pendidik?




Dulu-dulu, di zaman tujuh puluhan, kalau disebut cikgu atau dia seorang guru, pastilah orang-orang tempatan dan masyarakat akan memandang tinggi kepadanya. Hormatnya bukan kepalang. Nasihat dan pandangannya akan dihargai. Mereka tokok yang dihormati dan disegani, bukan tokoh yang ditakuti! Begitu lagikah sekarang?

Terpulanglah kepada yang menilainya.


Di zaman serba canggih dan manusia menjadi semakin cerdik dan semakin hilang hormat kepada orang lain, biasalah kalau seorang guru boleh diherdik oleh ibubapa atau lebih teruk dipukul oleh anak muridnya sendiri. Di sebuah negeri, seorang pelajar perempuan sanggup menendang guru wanita! Satu fenomena yang tidak pernah berlaku sebelumnya di dalam dunia pendidikan. Kalau kereta baru dicalar-calar, biasalah!




Saya mempunyai anak istimewa, yang dihantar ke sebuah sekolah menengah. Hari-hari persekolahan dilalui seperti biasa. Menjalani rutin hariannya menjadi pelajar yang mungkin tidak dipedulikan oleh rakan-rakannya yang lebih sempurna.


Pada bulan Ramadhan yang lalu, lalu diberitahu oleh gurunya kepada penjaga mereka, semua anak-anak istimewa di sekolah itu akan dibawa ke Kota Bharu, untuk meraikan mereka dengan berbuka puasa sebelum menjelang Hari Lebaran. Mereka dihadiahkan dengan sedikit wang raya setakat yang terdaya diberikan oleh mereka yang prihatin. Surat telah diutuskan kepada penjaga untuk menyatakan hasrat pihak sekolah itu, dengan kerja keras guru-gurunya seramai empat orang.


Lalu dikirimkan sepasang baju Melayu bersampin dan songkok yang dijahitkan reben untuk dipakaikan kepada pelajar-pelajar. Pakaian itu diminta dipakaikan sebelum dihantar ke sekolah sebelum menaiki bas yang disewa khas. Guru-guru menjahitkan sendiri sampin dan reben tanpa meminta pertolongan dari pihak lain.


Lalu isteri saya menghantar sms kepada gurunya memaniskan bicara. Tentulah banyak sponsor yang diperolehi pihak sekolah bagi menjayakan program itu!


Inilah adalah balasan sms daripada guru kelas kanak-kanak istimewa itu:


"Tak adalah banyak mana. Itu pun terpaksa saya malukan muka mengutip derma dari kedai ke kedai. Tak mengapalah, saya ingin melihat anak-anak murid saya bergembira menyambut raya."


Hati saya sangat tersentuh. itulah guru sejati! Tidak mengharapkan ganjaran dan imbalan atau mengharapkan kenaikan pangkat! Sanggup menjahit sendiri sampin dan reben pada songkok pelajar-pelajarnya.


Apakah guru-guru di sekolah elit atau boarding schools melakukannya sendiri demi anak buah tercinta! Atau mengharapkan pihak pentadbiran menguruskannya? Sanggupkah kita menebalkan muka mengutip derma demi untuk orang-orang bawah kita yang tercinta? Berapakah digri keikhlasan kita melakukan apa-apa tanpa mendapat imbalan dunia berbentuk pangkat dan material duniawi? Hanya ALLAH yang dapat menilai IKHLAS kita. Apakah kita melakukan tugas semata-mata kerana ALLAH? Tanpa ujub, tanpa rasa mahu menunjuk-nunjuk! Tanpa secalit rasa lngin menunjuk-nunjuk? Tanpa riak dan bermuka-muka?


Saya pernah menjadi pelajar di sekolah menengah dulu, menjadi editor majalah sekolah. Guru membawa Editorial Board ke Kota Bharu. Ditinggalkan kami di jalan-jalan tertentu. Dimintanya kami menjajah ke kedai-kedai bagi mendapatkan tajaan dalam bentuk iklan untuk dimasukkan ke dalam majalah tahunan bagi mengurangkan harga majalah. Bukan semua pelajar mampu membeli majalah sekolah! Apakah murid-murid kita hari ini melakukannya sekarang sebagai pendidikan untuk berlatih berdikari atau menanam sikap keusahawanan tanpa banyak memohon bantuan pihak-pihak lain. Hari ini, untuk menyenangkan kerja, dilonggokkan ke bahu pentadbiran untuk melakukan bagi pihak kita. Pelajar-pelajar kita tidak akan belajar apa-apa. Tidak mandiri dan hanya mengharapkan bantuan orang setiap waktu! Kita hanya mengharapkan pemberiaan yang dihulurkan tanpa banyak melakukan yang lebih baik. Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima.
Kepada cikgu yang memberi pengajaran dan membantu anak-anak saya dan bagi pihak ibubapa yang mempunyai anak-anak istimewa, terima kasih sebanyak-banyaknya kerana menganggapkan mereka seperti anak-anak sendiri yang perlu dikasihi dan disayangi. Yang perlu dibelai dan asuh menjadi manusia yang lebih sempurna! Semoga Tuhan membalasnya dengan sebaik-baiknya dan semoga Tuhan memberi kebahagian kepada kehidupan Cikgu!
TERIMA KASIH, CIKGU!

No comments: