Tuesday, December 2, 2008

BELAJAR MENULIS


Penghujung Tahun 1974:


PEPERIKSAAN MCE (Malaysian Certificate of Education) telah berakhir. Tidak tahu apa yang hendak dibuat untuk mengisi kelopongan masa sementara menunggu keputusan keluar melebihi sebulan selepas itu. Di rumah hanya ada berbelas-belas buku sama ada buku cerita Melayu dan Inggeris. Buku-buku itulah yang menjadi rakan setia, dibaca berulang-ulang kali tanpa puas! Selepas membaca, cuba membayangkan jalan cerita dan watak-wataknya. Hati terasa puas. Gambaran cerita seperti menjalar melingkar perasaan. Di antara buku-buku yang masih tersimpan ialah Desa Pingitan, Panglima Awang, Panglima Hitam, Awan Hitam dan Pandawa Lima. Sayang rasanya untuk membiarkan di rumah bapa. Ketika telah berkahwin dan berpindah rumah, saya mengangkut buku-buku itu, bimbang ianya terbuang dan tidak dihargai. Entah kenapa saya meminati buku-buku cerita walaupun tidak pernah mengikuti kelas sastera secara formal. saya mengikuti kelas sains dan seterusnya mengambil jurusan perakaunan ketika menyambung pelajaran ke UiTM (dulu ITM).


Minat menulis telah mula berkembang semasa di tingkatan dua lagi. Cerpen pertama keluar dalam Utusan Pelajar! Alangkah indahnya perasaan ketika itu. Mendapat hasil RM15.00 sudah cukup besar ketika itu. Selepas itu satu demi satu keluar walaupun penat berulang ke rumah rakan yang jauh untuk menaipnya. Ketika itu belum memiliki mesin taip di rumah. Betapa saya mendambakan sebuah menjadi milik sendiri. Sebahagian honorarium dibayar kepada rakan sebagai tanda terima kasih.


Lama-lama bapa membeli sebuah mesin taip bila melihat saya bersungguh-sungguh menulis dan telah membuktikan saya benar-benar memerlukannya. Terima kasih bapa! Saya mengelusnya bagai mendapat emas tempawan!


Ketika habis peperiksaan saya memberanikan diri menulis sebuah novel pertama. Tetamu Pulau Setangkan. Saya terpengaruh dengan buku-buku Enid Blyton yang sering dipinjam dari Perpustakaan sekolah. Buku Advencer. Terima kasih DBP kerana menerbitkannya walaupun banyak kelemahan di sana sini. Tahun 1978 diterbitkan setelah bertahun menunggu, itu pun setelah menyambung pelajaran ke UiTM. Dan selepas itu ia diulang cetak sebanyak 3 kali lagi. Wang royalti pertama diterima melebihi RM1000.00 , terasa cukup banyak dan berharga. Tidak pernah memiliki sendiri wang melebihi RM100.00 ketika itu. Buku itu diterbitkan di bawah siri perpustakaan sekolah.


Selepas itu mulalah saya menulis buku-buku lain.

No comments: