Friday, December 19, 2008

RUNTUH DAN KERUNTUHAN




Negara kita tidak pernah sunyi mengalami tragedi dan bencana alam. Negara juga pernah dilanda Tsunami yang sebelum ini tidak pernah pun dilihat secara live oleh penduduk Malaysia. Kita hanya menonton melalui televisyen atau filem-filem. Fenomena ombak besar yang menelan banyak korban dan kemusnahan yang banyak berlaku di negara-negara lain sebelum ini. Sebelum ini banyak kejadian Tsunami yang melanda negara matahari terbit, Jepun. Sebab itu nama Tsunami itu diambil dari perkataan Jepun. Kita tidak pernah pun terbayang atau menyangka ia akan berlaku di negara ini. Malaysia jauh dari lingkaran Ring of Fires atau lingkaran gunung berapi. Tetapi kuasa ALLAH siapa yang dapat menyangkakannya. Tempias daripada kejadian gempa bumi kerana gerakan lapisan bumi di Indonesia telah pun melanda negara kita. Ombak besar Tsunami telah membadai pantai Barat di sebelah utara Malaysia. Sekali ia datang, kesannya meledakkan emosi dan trauma yang tidak terhingga terutama kepada yang mengalaminya sendiri. Begitu jugalah bencana tanah runtuh. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Namun manusia memang cepat terlupa. Ia ibarat air banjir yang datang sesekali melanda. Setelah ia surut dan kering, kita pun terus lupa sehingga ia datang lagi dan lagi....
Kepada yang terkena musibah ini, takziah kerana kehilangan orang-orang tersayang. Dan yang terselamat beryukurlah kepada ALLAH kerana masih diberi kesempatan untuk meneruskan hidup sambil menginsafi dan mendekati diri kepada Pencipta.
Berterima kasihlah kepada anggota-anggota penyelamat yang bertungkus lumus menyelamat dan memudahkan keluarga kita mengharungi kepayahan ini. Jangan diherdik dan dirungut-rungut tentang barang yang hilang, apatah lagi untuk menuduh anggota penyelamat yang mencurinya!
Harta yang hilang boleh dicari ganti tetapi nyawa yang pergi tiada boleh dicari ganti lagi!
Kepada lain-lain warga yang tidak terlibat, usahlah ditambah lagi membeli dan menduduki puncak-puncak bukit. Jangan bersekongkol dengan pemaju yang hanya mencari untung duniawi! Usah digondoli lagi bukit-bukit dan gunung untuk dijadikan kediaman dan penempatan. Kononnya perumahan di tanah tinggi tidak akan menyusut nilainya setiap tahun. Harganya akan melambung saban tahun. Kini apa yang terjadi? Perumahan di Bukit Antarabangsa jatuh merudum!


Sesungguhnya bencana atau bala yang berlaku dengan kehendak-NYA jua. Ia mungkin bala, ia mungkin ujian ALLAH kepada kita. Bala itu kemurkaan ALLAH dan ibtila itu ujian. Kalau berlaku kepada orang yang zalim maka matinya dalam keadaan Suul al-Khatimah. Jika ia tertimpa kepada orang yang baik, ia menjadi kafarah. Dia mendapat kebaikan kerana ia merupakan ujian, bukannya bala.


Firman Allah yang bermaksud: Dan takutlah kamu kepada ALLAH dengan tidak melakukan kejahatan tetapi sekiranya ALLAH menurunkan bala kerana kejahatan itu tidak terkena kepada orang yang melakukan kezaliman sahaja tetapi semua orang yang kena, termasuk yang baik-baik juga.


Melakukan kezaliman itu tidak semestinya dengan kekasaran fizikal semata-mata. Tidak berlaku adil dalam semua urusan juga merupakan kezaliman juga. Kita diminta menjaga diri, masyarakat dan alam sekitar. Kalau kita menarah bukit sesedap rasa untuk mendapat keuntungan semata-mata, sehingga merosakkan ekologi dan hidupan lain, maka kita telah berlaku zalim. Kita telah merosakkan bukit-bukau dan gunung-ganang yang menjadi pasak bumi. Kita telah melakukan kerosakan dan kezaliman terhadap alam ini.


Marilah kita menghayati maksud hadis Nabi SAW yang menjadi dalil punca ALLAH menurunkan bala: Apabila umatku melakukan 15 perkara, maka ALLAH SWT akan kenakan bala, di antaranya iaitu 1. Riba berleluasa dalam msyarakat. 2. Ramai orang terlibat dengan maksiat. 3. Apabila orang meninggalkan amar makruf nahi mungkar. 3. Orang muda tidak lagi menghormati orang tua. 4. Harta negara berlegar di kalangan orang tertentu sahaja. 5. Anak tidak lagi menghormati ibu bapa. 6. Penyanyi, pemuzik dan artis menjadi idola.


Begitulah yang terjadi kini. Lihatlah betapa artis menjadi idola dan kegilaan ramai orang. Bahkan artis kahwin pun menjadi peristiwa yang ditunggu-tunggu dan diperbesar-besarkan. Disambut secara besar-besaran. Dijadikan siaran hak ekslusif pihak tertentu! Sambutan perkahwinan pun diperdagangkan.
Majlis ilmu yang ditawarkan Illahi menjadi taman syurga menjadi sepi tanpa audien! Lihatlah masjid-masjid menjadi lengang walaupun dibina dengan megah dan amat cantik. Pengisiannya kosong. MASYA ALLAH.


Inilah realiti dunia kita kini.
Semoga ALLAH SWT menyisihkan negara dari tsunami kali kedua! Amin ya Rabbul Alamin.









No comments: