Monday, December 29, 2008

Mikhail dan Obama






Sekiranya ALLAH SWT mahu menurunkan Taufiq dan Hidayah-NYA kepada sesiapa yang mahu dipilihnya, maka bertuahlah insan yang bernama manusia itu dengan curahan ihsan dan kasihsayangnya terhadap insan pilihan-NYA. Taufiq diberikan kepada semua kejadian yang hidup, di atas kemurahan rezeki daripada-NYA. Diberikan rezeki masing-masing mengikut kadarnya yang telah ditetapkan. Tetapi Hidayah adalah merupakan iman dan Islam yang dianugerahakan kepada hamba-hamba-NYA yang terpilih. Mendapat pimpinan dan bimbingan daripada ALLAH.




Ada orang yang telahpun dilahirkan dalam keluarga Islam asalnya, tetapi akhirnya menganut agama lain kerana tidak diberikan hidayah-NYA. Lihatlah Barrack Hussein Obama, dilahirkan dalam keluarga Islam, asalnya. Bapanya berbangsa Kenya yang beragama Islam. Selepas ibunya bercerai dengan bapanya, ibunya berhijrah ke Indonesia. Kemudian dibesarkan oleh keluarga Islam di Indonesia, dalam persekitaran masyarakat Islam, tetapi oleh kerana bapa tirinya yang berbangsa Indonesia tetapi tidak mementingkan kehidupan beragama, Islamnya ala kadar, maka Obama membesar tanpa didikan dan tarbiyyah Islam yang sebenarnya. Dia tidak terpilih oleh Tuhan untuk mendapat Hidayah. Bila berpindah balik ke Amerika bersama-sama ibunya yang berkulit putih, warga Amerika, beliau telah dibaptiskan dan memeluk agama Kristian. Beliau memang mempunyai ketokohan yang luarbiasa. Beliau bukan menjadi terkenal melalui badan-badan NGO atau lain-lain kesatuan, seperti lain-lain tokoh kulit hitam yang lain, seperti Martin Luther King, tetapi melalui kelulusan guamannya. Melalui kepandaian dan ilmu pendidikannya. Beliau memang seorang keturunan kulit hitam yang brilliant. Dan beliau memang diharapkan oleh dunia Islam untuk memulihkan imej Islam yang sengaja dicemarkan oleh pihak-pihak yang tidak suka dunia Islam berkembang. Tetapi Obama dibayangi oleh penasihat-penasihat yang mendokong negara Yahudi, Israel. Simpati kepada negara-negara Arab, terutama Palestin, janganlah diharapkan. Sudah ada ura-ura, Amerika akan lebih menekan dan lebih mencengkam bumi Afghanistan dan Pakistan, di atas dasar untuk memerangi Taliban. Sebenarnya memerangi orang-orang Islam dengan bertopengkan menentang keganasan. Sebenarnya merekalah yang mengganas. Dasar luar Amerika tidak akan banyak berubah. Apakah akan ada lagi peperangan salib? Dunia Islam tidak dapat mengharapkan Obama untuk menolong dan membantu dunia Islam, lebih-lebih lagi Palestin yang sedang ditindas oleh regim Yahudi dan menjalankan strategi merampas tanah Palestin secara terang-terangan. Mereka kini sedang membunuh beratus-ratus orang awam. Pembantu-pembantu Obama lebih bersimpati dan memang pendokong negara Yahudi itu.

Orang tidak tahu siapa sebenarnya Mikhail. Mikhail satu nama baru! Tetapi kalau disebut Micheal Jackson, semua orang akan tahu. Dia penyanyi superstar, idola dan kegilaan ramai orang di seluruh dunia. Tetapi alhamdulillah, dia telah mendapat hidayah ALLAH, mendapat petunjuk, dibukakan pintu hatinya menerima Islam. Lalu dia menukar namanya kepada Mikhail. Semoga dia menjadi seperti Yussof Islam (Cat Steven). Semoga dia menyamai Yussof Islam. Sekurang-kurangnya sama dengannya, kalau tidak lebih pun daripada rakan sepenyanyiannya itu. Harapnya begitulah. Menyebarkan dan menyemarakkanIslam melalui medium yang sememang telah dikenali. Dia seperti telah dilahirkan semula dengan seputih-putihnya. Dia memang bercita-cita untuk menjadi putih walaupun dilahirkan semula jadi hitam. Diharapkan beliau akan melupakan sejarah hitam keluarga yang asalnya terdiri dari keluarga miskin dan mempunyai tanggungan yang ramai. Bapanya hanya seorang pekerja biasa di kilang besi. Kalau adapun kesilapan besar yang telah dilalui sehingga terpaksa disaman berkali-kali di mahkamah, kerana dakwaan sodomi, semoga dia akan kembali ke pangkal jalan. Pintu taubat telah luas terbuka. ALLAH Maha Pengampun. Dia sebenarnya telah putih dalam kehitaman kulitnya yang asal. dan Tuhan telahpun memberinya peluang hidup dalam dunia kemewahan sebelum ini!

Ya Allah, berikan beliau petunjuk untuk dijadikan beliau pendakwah melalui medium yang beliau gemari dan dikenali. Semoga dia akan dapat mempengaruhi anak-anak muda yang masih hanyut di dalam kegilaan ombak kemabukan dunia hiburan yang melalaikan!
AMIN.

No comments: